KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi ruang kepada syarikat konsesi lebuh raya dan pihak berkepentingan untuk berunding mengenai pelaksanaan sistem tol tanpa palang atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) dan menyelesaikannya secara perniagaan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pendekatan itu diambil kerana syarikat konsesi merupakan pemilik aset lebuh raya, justeru mereka perlu berunding sesama sendiri dan dengan pihak yang mahu melabur dalam sistem berkenaan.
Katanya, kerajaan telah memberikan garis masa kepada pihak terlibat dan mereka hanya memerlukan sedikit masa lagi.
“Ini model perniagaan yang kita benarkan.
“Pihak yang berminat perlu berbincang antara satu sama lain terutama pihak konsesi kerana mereka pemilik aset,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan MyASEAN Road and Traffic Tech Expo (MyARTTE) 2026 di MITEC, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, platform JustGo telah digunakan di lebuh raya PLUS sebagai projek perintis selama beberapa bulan bersama beberapa pihak lain yang bekerjasama dengan syarikat konsesi itu.
Jelasnya, rundingan perniagaan antara syarikat (B2B) akan menentukan sama ada JustGo atau platform lain sesuai dan boleh digunakan secara meluas.
“Butiran platform yang dirundingkan masih dalam proses tetapi ia akan diumumkan kepada orang ramai kelak.
“Akhirnya, apa yang kita mahu ialah sistem seperti di negara maju, pengguna jalan raya tidak menghadapi masalah, lancar dan selamat digunakan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan sedang membangunkan platform kerajaan bagi maklumat jalan yang membolehkan Kerajaan Persekutuan, negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemilik jalan berkongsi data.
Jelasnya, perjanjian berkaitan dokumen data aset jalan telah dimeterai dengan kerajaan negeri manakala lima negeri lagi belum berbuat demikian.
“Saya yakin yang lain akan menyusul, mereka cuma perlukan sedikit masa.
“Setiap pihak berkuasa jalan perlu memastikan data mereka dikemas kini dan disahkan dari semasa ke semasa melalui sistem maklumat geografi (GIS), selain kerajaan telah menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI), pelan tindakan dan jadual pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN











