Rujuk kembali intipati Kerajaan Perpaduan Malaysia – Asyraf Wajdi

Rujuk kembali intipati Kerajaan Perpaduan Malaysia – Asyraf Wajdi

SYRAF Wajdi Dusuki bercakap pada sidang akhbar di laman media pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan perlu kembali merujuk intipati serta perkara yang dipersetujui dalam perjanjian pembentukan kerajaan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, terdapat beberapa perkara yang kini dilihat semakin longgar sehingga timbul pelbagai tohmahan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) termasuk dakwaan parti itu mengkhianati mana-mana pihak.

“Yang paling penting adalah rujuk kembali intipati Kerajaan Perpaduan Malaysia itu. Banyak perkara yang hari ini mulai longgar dan semacam pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk mengatakan bahawa BN ataupun UMNO melakukan pengkhianatan.

“Sedangkan kita tidak pernah mengkhianati sesiapa. Perjanjian kita hanya terpakai sehingga pilihan raya,” katanya semasa sidang akhbar di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026, hari ini.

Tambah Asyraf Wajdi, selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan, setiap parti mempunyai hak untuk menentukan hala tuju dan bentuk kerjasama politik masing-masing.

“Johor tidak terpakai. Negeri Sembilan tidak terpakai. Bila kita bubar sahaja, maknanya terserah kepada parti-parti untuk menentukan hala tuju masing-masing.

“Saya tidak menjangkakan di Sabah dan Sarawak pun mereka akan dictate untuk bekerjasama. Mereka ada hak untuk memilih rakan siapa yang mereka akan lakukan kerjasama politik,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, perkara yang termaktub dalam perjanjian pembentukan Kerajaan Perpaduan perlu dihormati, termasuk penetapan nama kerajaan sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Menggunakan war cry, menggunakan gagasan Madani itu tidak ada masalah. Tetapi apabila menonjolkan Kerajaan Madani berbanding dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia sebagaimana yang disepakati, itu perkara pertama sebenarnya dalam perjanjian 18 perkara.

“Dalam perjanjian permulaan perundingan, perkara pertama disebutkan bahawa kerajaan yang ditubuhkan ini mestilah dinamakan dengan Kerajaan Perpaduan Malaysia,” katanya.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, kerajaan Perpaduan bukan kerajaan yang dibentuk oleh satu parti, sebaliknya melibatkan parti-parti yang bersetuju membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apabila Datuk Seri Anwar mengangkat sumpah, sebuah perjanjian yang melibatkan 18 parti dimaktubkan dan perjanjian itu dinamakan Perjanjian Pembentukan Kerajaan Perpaduan Malaysia.

“Maknanya kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Jadi Perdana Menteri mesti sentiasa merujuk kepada kesemua parti-parti yang membentuk kerajaan ini,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, pendekatan itu berbeza dengan kerajaan yang mempunyai majoriti mutlak dan hanya bergantung kepada sokongan satu parti atau gabungan tertentu.

“Tetapi apabila kerajaan itu adalah Kerajaan Perpaduan, it’s a unity government, maka rundingan dan perbincangan perlu dibuat dengan semua parti yang membentuk kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×