SERDANG: Sebuah reban ayam moden yang boleh dikawal dengan gajet menjadi antara tarikan utama pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026.
Teknologi mengawal suhu, pengudaraan dan keadaan persekitaran reban ayam yang diperkenalkan oleh Dindings Tyson Poultry House itu menggunakan sistem tertutup bagi mewujudkan persekitaran lebih terkawal untuk penternakan ayam.
Pengurus Kejuruteraannya, Ian Tan berkata, sistem berkenaan dilengkapi sensor yang mengesan keadaan persekitaran sebelum data dihantar kepada sistem kawalan iklim untuk menentukan keperluan terhadap penggunaan peralatan seperti pemanas dan kipas pengudaraan.
“Sensor akan hantar data kepada sistem kawalan iklim dan dari situ ia akan mengawal sama ada pemanas atau kipas diperlukan.
“Penggunaan teknologi itu bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, malah membantu meningkatkan pengeluaran dan mengurangkan kadar kematian ayam,” katanya kepada Utusan Malaysia. – UTUSAN










