Ramai ‘tawar hati’ untuk terus menanam padi

Ramai ‘tawar hati’ untuk terus menanam padi

SEBAHAGIAN daripada pesawah yang berhimpun secara aman bagi menuntut hak mereka di Jalan Lahar Kepar, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : “Kalau nak ikut, kami (pesawah) tanam padi ini pun sebab nak teruskan wa­risan yang diusahakan oleh mak ayah kami sahaja. Kalau bukan sebab itu, baik kami jual sahaja tanah ini (bendang) buat tanah lot. Tanam padi banyak-banyak, tapi dapat (hasil) cukup-cukup makan sahaja.”

tu antara keluhan pesawah di negeri ini berikutan kenaikan pelbagai kos termasuk harga benih, kerja-kerja membajak, menuai, pengangkutan dan sebagainya sehingga ada dalam kalangan pesawah yang semakin ‘tawar hati’ untuk meneruskan aktiviti menanam padi ketika ini.

Wakil pesawah Pulau Pinang, Mohd. Fadli Bakar, 50, berkata, subsidi berkaitan memang ada disalurkan oleh kerajaan, namun, tidak semua bantuan itu sampai kepada pesawah seperti yang sepatutnya.

“Kami berkumpul hari ini cuma nak tuntut hak kami sahaja. Bukan kata sebab kami cemburu dengan rakan-rakan kami seperti nelayan, pekebun getah dan sebagainya. Jika ‘depa’ (mereka) dapat bantuan lebih atau apa sahaja, itu hak mereka. Kami cuma mau hak kami.

“Contoh macam harga beras tempatan. Saya ingat sudah berbelas tahun tak pernah dikaji. Jadi, bila harga beras tempatan tak naik, pengilang tak dapat nak beli padi kami dengan harga yang tinggi.

“Apabila beras import ba­nyak di pasaran pula, harga akan menjadi murah. Jadi, lebih baik pengilang beli beras ini (import), pek semula dan jual dengan harga tinggi. Kami harap perkara ini juga akan dipantau.

“Sebenarnya, isu pesawah di Pulau Pinang sama sahaja se­perti pesawah di Kedah dan Perlis. Cuma, saiz bendang kami tidak sebesar di Kedah. Tapi, kami tetap berdepan masalah dan kerugian yang sama seperti pesawah lain,” katanya.

Mohd. Fadli ditemui ketika menyertai himpunan untuk menuntut hak pesawah anjuran Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) bersama hampir 50 pesawah lain dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di Penaga di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan nasib golo­ngan berkenaan termasuk membawa tuntutan mereka untuk diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 nanti.

“Kami mahu kerajaan mempertimbangkan untuk menyenaraikan sektor tanaman padi di bawah SKDS (Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi) kerana kenaikan harga diesel ketika ini telah menyebabkan kos operasi me­ningkat dengan ketara.

“Sebenarnya, sejak 2024 lagi kami telah membuat permohonan ini berikutan kenaikan harga diesel serta krisis tenaga global sehingga menyebabkan kos pengeluaran (padi) mening­kat secara mendadak sehingga mencecah RM6,000 sehektar di sesetengah kawasan.

“Kos pembajakan pula me­ningkat kira-kira 38 peratus manakala kos penuaian naik sehingga 66 peratus, sekali gus memberi tekanan besar kepada pesawah. Itu belum dikira kos-kos lain termasuk harga racun, harga lantai (padi) serta harga potongan padi yang terpaksa ditanggung sendiri oleh pesawah ketika ini,” katanya.

Justeru, beliau berharap sempena Belanjawan 2027 ini kerajaan dapat membawa berita baik kepada pesawah dan menyelesaikan isu yang berlarutan daripada masalah benih sehinggalah kepada pemasaran beras secara lebih menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×