Raja Azura sebenarnya banyak membantu - Keanu Azman - Utusan Malaysia

Raja Azura sebenarnya banyak membantu – Keanu Azman

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengacara, Keanu Azman menolak persepsi netizen yang mendakwa hos berpengalaman, Raja Azura yang cuba mendominasi pengacaraan rancangan Kilauan Emas Selebriti.

Bertindak mempertahankan pengacara tersebut, Keanu memaklumkan Raja Azura sebenarnya pasangan pengacara yang banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada hos baharu sepertinya.

“Pandangan yang mengatakan Raja Azura kononnya tidak memberi peluang kepada pengacara junior adalah tidak benar.

“Niatnya baik, sentiasa membantu lebih-lebih lagi kepada pengacara seperti saya.

“Jadi agak tidak adil kalau masyarakat mempersalahkan beliau semata-mata,” katanya.

Keanu berkata demikian dalam sidang media Kilauan Emas Selebriti yang diadakan di MBSA Shah Alam, Sabtu lepas.

Terdahulu tindakan pengacara yang mesra disapa sebagai Kak Engku, yang beberapa kali memotong percakapan Keanu dalam program berkenaan mengundang rasa kurang senang netizen.

Dalam pada itu Keanu meluahkan rasa lega kerana melihat perubahan komen yang ditulis netizen kini lebih menjurus ke arah positif berkenaan isu tersebut.

“Saya melihat keadaan semakin baik, komen yang ditulis netizen di media sosial sekarang ini lebih ke arah positif,” ujarnya.

Dalam pada itu, pemilik nama penuh Mohamad Keanudin Mohamad Azman itu menjelaskan Kilauan Emas Selebriti merupakan program berhibur sambil beramal yang tidak bercanggah dengan pendiriannya yang sudah berhijrah ke arah kebaikan.

“Benar, saya sudah berhijrah, malah langkah saya meninggalkan Hits FM juga kerana hal demikian, itu perkara yang benar-benar berlaku.

“Namun, Kilauan Emas Selebriti bukanlah rancangan hiburan yang ‘lagha’. Ia program yang menampilkan selebriti berusia 50 ke atas menghiburkan sambil beramal. Bagi saya tiada salahnya saya mengacarakannya.

“Apa pun saya tidak menyalahkan netizen yang berpandangan sedemikian kerana mereka mempunyai pendapat masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×