SEREMBAN: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebulat suara bersetuju bahawa proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah dan berkuat kuasa.
Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim diminta untuk meneruskan proses pewartaan proklamasi penurunan takhta mengikut peraturan sedia ada.
“Hari ini, saya ingin mengesahkan bahawa proklamasi memang telah dibincangkan dan diputuskan oleh semua ahli Exco kerajaan negeri secara sebulat suara dalam mesyuarat Exco pada Selasa lalu,” kata Ismail ketika ditemui pada Majlis Anugerah Siswazah Kelas Pertama di sini, semalam.
Kenyataan MMKN menyebut, adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mengikut Perkara 32 dan Perkara 79 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Prerogatif itu juga termaktub di bawah Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, proklamasi itu juga telah ditandatangani oleh Ismail pada 3 Ogos 2026 menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10 (2) UUTKNS 1959.
Selain itu, proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 juga telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang yang sah dan berkuat kuasa.
Katanya, maka proklamasi tersebut adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.
Dalam pada itu, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) menyatakan, keputusan MMKN mengenai penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan MMKN itu adalah di luar bidang kuasa mereka.
Menurutnya, perkara berkaitan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang terletak dalam bidang kuasanya seperti diperuntukkan di bawah Perkara 16 UUTKNS 1959.
“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan.
“Exco dan kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan proklamasi berkenaan atau kedudukan Yang di-Pertuan Besar,” katanya
DKU menyifatkan kenyataan Ismail pada 15 September lalu adalah selaras dengan UUTKNS 1959 dan ketetapan Dewan.
Katanya, kesahan serta kesan proklamasi berkenaan perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah termasuk penentuan kehakiman.
“Dewan menegaskan semula ketetapannya bahawa proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat sejak awal dan tiada siasatan menurut Perkara 10 (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan, tiga daripada empat orang yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut serta keengganan Menteri Besar yang ketika itu untuk menandatanganinya,
“Sehubungan itu, fungsi di bawah Perkara 10 (2) UUTKNS 1959 telahpun dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal. Exco tidak boleh memulihkan kecacatan tersebut,” katanya.
Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Exco tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.
Katanya, DKU yang bersidang pada 13 September dan mengeluarkan keputusan pada 14 September lalu turut menegaskan bahawa proklamasi berkenaan tidak sah dan terbatal sejak awal.
“Saya menegaskan bahawa Tuanku Muhriz ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Tindakan ahli-ahli Exco mengeluarkan pengumuman pada 16 September merupakan suatu perbuatan derhaka terhadap Tuanku Muhriz. Saya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap setiap ahli Exco yang terlibat,” katanya.
Aminuddin turut mempersoalkan perubahan pendirian kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Ismail berhubung status proklamasi berkenaan.
Beliau berkata, pada 9 September lalu, kerajaan negeri menyatakan secara terbuka bahawa dokumen proklamasi tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang ditetapkan dalam Perkara 10 UUTKNS 1959, selain menyifatkannya sebagai tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dilaksanakan.
“Namun, tujuh hari kemudian Exco yang sama memutuskan bahawa proklamasi itu sudah lengkap dan berkuat kuasa. Perubahan pendirian ini sukar difahami,” katanya. – UTUSAN










