KOTA BHARU: Penggantungan semua kegiatan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak menjejaskan rundingan Pas dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, rundingan bersama BN berjalan lancar dan kini mencapai tahap lebih 50 peratus.
Katanya, rundingan itu berlandaskan prinsip penyatuan ummah atau penyatuan orang Melayu-Islam yang sering ditekankan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
“Penyatuan ummah ini telah diterima oleh majoriti rakyat Malaysia termasuk dalam kalangan bukan Melayu sendiri. Sebab penyatuan dan perpaduan ini mewujudkan kestabilan.
“Semua orang mahukan kestabilan dari segi politik mahupun ekonomi. Jadi kita tidak ada masalah,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di Lembah Sireh, di sini hari ini.
Takiyuddin menafikan dakwaan Pas diberikan tujuh kerusi DUN Melaka, sebaliknya menegaskan perkara tersebut belum diputuskan dan masih dalam perundingan.
Katanya, rundingan Pas-BN bukan sekadar membabitkan pembahagian kerusi DUN Melaka, malah diperluas sehingga menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Kita ambil kira semua faktor dan perbincangan adalah secara meluas, iaitu membabitkan kerjasama di seluruh Malaysia. Termasuk PRU16,” ujarnya.
Pada 24 September lalu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh memaklumkan belum ada mana-mana parti menghubunginya bagi memulakan rundingan kerjasama menghadapi PRN Melaka.
Ab. Rauf selaku Pengerusi BN Melaka percaya proses perbincangan kini menunggu masa untuk bermula sebaik menerima isyarat daripada kepimpinan tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – UTUSAN











