KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO mencadangkan pelaksanaan potongan gaji terhadap bekas suami yang culas membayar nafkah meskipun sudah diperintahkan berbuat demikian oleh mahkamah.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ini kerana masih terdapat bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab berkenaan selepas perceraian.
Katanya, keadaan itu menyebabkan bekas isteri terpaksa menanggung sendiri keperluan anak-anak termasuk perbelanjaan makanan dan persekolahan.
“Cadangan pelaksanaan potongan gaji berkenaan pernah dikemukakan sebelum ini namun tidak dapat dilaksanakan selepas UMNO kalah.
“Saya minta Datuk Seri (Ahmad Zahid Hamidi) kalau boleh, kita laksanakan semula potongan gaji kepada bapa yang tidak bertanggungjawab ini untuk diberikan kepada anak,” katanya dalam Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO, di sini hari ini.
Muhamad Akmal turut mencadangkan Biro Guaman Pemuda UMNO menubuhkan pasukan khas bagi membantu wanita yang digantung tidak bertali.
Katanya, terdapat wanita yang tidak mengetahui bentuk bantuan yang tersedia selain kurang memahami prosedur mahkamah.
“Pasukan khas tersebut akan menerangkan proses berkaitan serta menghubungkan golongan berkenaan dengan saluran bantuan.
“Pemuda UMNO akan terus memelihara dan memperjuangkan hak wanita serta anak-anak yang terkesan akibat kecuaian tersebut,” katanya. – UTUSAN










