SEREMBAN: Polis melaksanakan kawalan akses terhadap bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan ke Wisma Negeri di sini.
Ia selepas Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir membatalkan pelantikan mereka pada 20 September lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, langkah itu bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan terus terpelihara.
Menurutnya, kawalan akses dilaksanakan berdasarkan penilaian keselamatan semasa serta keperluan pengurusan premis.
“Sebarang kawalan akses di lokasi berkaitan dilaksanakan secara terkawal berdasarkan penilaian keselamatan semasa, keperluan pengurusan premis serta bagi mengelakkan sebarang keadaan yang boleh mencetuskan ketegangan atau menjejaskan ketenteraman awam.
“Tindakan tersebut tidak seharusnya ditafsirkan sebagai Polis Diraja Malaysia (PDRM) memihak atau memberikan pengiktirafan kepada mana-mana pihak dalam perkara yang sedang melalui proses perlembagaan dan perundangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan negeri meminta larangan terhadap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan memasuki pejabat atau menjalankan tugas sebagai Exco dinilai semula kerana dikhuatiri menjejaskan kepentingan rakyat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Ismail Lasim dilaporkan berkata, beliau dimaklumkan mengenai arahan yang melarang ahli Exco memasuki pejabat masing-masing sejak semalam.
Alzafny berkata, pihaknya turut mengambil maklum kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung proklamasi bertarikh 19 April lalu serta perkembangan proses perundangan berkaitan perkara berkenaan.
Katanya, polis menghormati sepenuhnya proses perlembagaan, perundangan dan institusi yang sedang berjalan serta tidak akan membuat sebarang penentuan terhadap perkara di luar bidang kuasa pasukan itu.
“Sebagai agensi yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan menguatkuasakan undang-undang, PDRM akan terus melaksanakan tugas secara profesional, adil dan berlandaskan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, penugasan polis di beberapa lokasi termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar, Balai Undang Luak Sungei Ujong dan Wisma Negeri semalam adalah bagi memastikan keselamatan awam terpelihara.
Katanya, polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang, mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau mengancam keselamatan mana-mana individu dan institusi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang, menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan serta tidak membuat atau menyebarkan spekulasi dan maklumat yang tidak disahkan yang boleh menimbulkan kekeliruan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Alzafny berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah keselamatan bersesuaian bagi memastikan keamanan, keselamatan serta ketenteraman awam di negeri itu sentiasa terpelihara. – UTUSAN











