PN yakin isu penggantungan selesai dua minggu - Utusan Malaysia

PN yakin isu penggantungan selesai dua minggu

TAKIYUDDIN Hassan (kiri) memukul beduk sebagai gimik perasmian Karnival Cakna Rakyat DUN Bunut Payong di Lembah Sireh, Kota Bharu, Kelantan. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) yakin isu penggantungan semua aktiviti gabungan parti politik itu oleh Pertubuhan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, gabungan itu mempunyai tempoh 30 hari atau sebulan, iaitu sehingga 22 Oktober ini untuk memberikan penjelasan kepada RoS berhubung isu berkaitan aduan difailkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap PN.

Katanya, kepemimpinan PN kini sedang mengadakan perbincangan bagi menyediakan jawapan dan penjelasan kepada RoS berhubung perkara berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita ada masa sehingga 30 hari atau sebulan. Kita sedang berbincang untuk membuat jawapan-jawapan dan penjelasan kepada RoS. Mungkin dalam tempoh dua minggu kita boleh selesaikan perkara ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Cakna Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bunut Payong di Lembah Sireh, di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, beliau melalui peguamnya telah menulis surat kepada Ketua Pengarah RoS bagi memohon pertemuan dengan barisan kepemmpinan PN untuk mendapat dan memberikan penjelasan berhubung tindakan penggantungan tersebut.

“Semalam kita sudah hantar surat kepada beliau (Ketua Pengarah RoS). Jadi kita harap sebagai agensi yang mengawal selia pertubuhan, apabila suatu pertubuhan dikenakan tindakan, berilah ruang untuk kita berjumpa.

“Kita mahu minta penjelasan dan kita mahu beri penjelasan. Pokoknya kena jumpalah dengan kita. Kalau tidak jumpa beliau, kita hendak jumpa siapa lagi?,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan penggantungan RoS itu sekali gus membolehkan hasrat Bersatu tercapai atau sebaliknya, Takiyuddin berkata, perkara tersebut perlu ditanya sendiri kepada parti berkenaan.

“Sama ada hasrat tercapai atau tidak, kena tanya Bersatu sendiri. Namun perlu ingat bahawa Bersatu juga berada dalam Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

“Saya tidak mahu ulas panjang perkara itu. Kena pergi tanya kerajaan negeri berkenaanlah. Mereka (Bersatu) berada dalam kerajaan negeri yang dipimpin oleh Pas. Jadi kena tanya kerajaan negerilah,” katanya.

Terdahulu, RoS dilapor mengeluarkan perintah penggantungan semua kegiatan PN di bawah subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar aturan pertubuhannya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×