KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan, Changkat Persekutuan, di sini, hari ini.
Anwar tiba di istana tepat pukul 6 petang sebelum pertemuan bersama Tuanku Muhriz yang berlangsung kira-kira sejam.
Beliau kemudian dilihat meninggalkan Istana Negeri Sembilan kira-kira pukul 7 malam.
Pertemuan itu dipercayai berlangsung susulan perkembangan terbaharu membabitkan pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Semalam, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan Datuk Azizi Mohamad Ali malam ini, keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Beliau berkata menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Bagaimanapun hari ini, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan kesemua 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan masih sah untuk terus menjalankan tugas, tiada keperluan mengemukakan senarai pelantikan yang baharu.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan tafsiran perundangan terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959, khususnya berkaitan kuasa eksekutif dan kedudukan Exco. – UTUSAN











