PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) akan memperoleh undi tambahan sekiranya gabungan itu membuat keputusan untuk bekerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Ini kerana perpecahan undi akibat saingan tiga atau empat penjuru hanya akan menguntungkan lawan jika PH memilih bertanding secara bersendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidak lama lagi.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keupayaan PH untuk bertanding secara solo bergantung pada kekuatan calon, kesiapsiagaan jentera dan data sokongan yang meyakinkan di setiap kerusi.
“Daripada sudut kelebihan pilihan raya, Barisan Nasional (BN) masih rakan paling bernilai kepada PH kerana mempunyai jentera akar umbi, pengalaman mentadbir negeri dan kekuatan dalam kalangan pengundi Melayu luar bandar.
“Bersatu pula mungkin memberi kelebihan di beberapa kerusi yang mempunyai pengundi Melayu yang cenderung kepada parti itu tetapi kerjasama tersebut lebih rumit daripada segi rundingan kerusi.
“Pejuang boleh menjadi pelengkap yang lebih kecil, namun kapasiti jentera serta pengaruh semasanya jauh lebih rendah dan tidak setanding BN atau Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, PH tidak boleh bergerak secara bersendirian pada PRN Melaka, sebaliknya perlu membuka ruang kerjasama dengan parti lain bagi mengelakkan perpecahan undi.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar dilaporkan berkata, semua parti perlu melihat kepentingan membentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya di Melaka.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik berkata, kerjasama dengan Bersatu atau Pejuang mungkin sukar diterima sebahagian penyokong PH kerana parti-parti berkenaan dilihat pernah menentang gabungan itu.
Katanya, UMNO menerusi BN Pusat pula menentang kerjasama PH dengan Bersatu kerana parti itu dianggap sebagai musuh tradisi UMNO menjadikan usaha kerjasama tersebut berdepan risiko besar.
“Penilaian terhadap kerjasama ini bukan sekadar pada nama gabungan tetapi juga sama ada kerjasama itu mempunyai naratif yang jelas dan pembahagian kerusi yang munasabah.
“Pengundi juga perlu diyakinkan bahawa kerjasama yang dibentuk merupakan langkah demi kestabilan Melaka dan bukan semata-mata percaturan politik untuk memenangi pilihan raya,” katanya.-UTUSAN











