Pernah terkilan jadi watak pembantu, tapi filem Terbang bukan tentang saya - Zizan Razak - Utusan Malaysia

Pernah terkilan jadi watak pembantu, tapi filem Terbang bukan tentang saya – Zizan Razak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pernah terlibat dalam perlumbaan kereta, pelakon, Zizan Razak mengakui terkilan pada awalnya apabila ditawarkan sebagai watak pembantu yang juga seorang mekanik dalam filem Terbang.

Cerita Zizan, atau Mohd. Razizan Abd. Razak, 42, dia mengimpikan karakter pemandu namun berubah fikiran selepas membaca skrip Terbang apabila mengetahui karakternya dalam filem ini mempunyai sumbangan besar terhadap kehidupan heronya, Karamjit Singh.

“Saya asalnya ambil filem ini disebabkan Karamjit Singh. Kalau ikutkan, watak saya bukan utama. Tapi ini antara filem yang saya ambil walaupun bukan watak utama.

“Saya sebenarnya ada sedikit terkilan bila saya jadi pembantu. Tapi bila saya ditawarkan filem berkenaan dengan genre perlumbaan ini, saya memang terima dan bila saya terima, baru saya dapat tahu yang saya bukan pelumba. Saya adalah mekanik.

“Tapi saya fikir, filem ini bukan pasal saya. Filem ini pasal Karamjit Singh. Jadi bila saya baca skrip itu, saya kata saya tak ada sebab nak tolak cerita ini kerana Karamjit Singh adalah wira saya,” katanya.

Zizan ditemui semasa malam gala Terbang di TGV KLCC, pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai pengalamannya sepanjang mengikuti dunia ‘rally’, pelakon Polis Evo itu mengakui dia telah menyaksikan Karamjit Singh berumba sejak dibangku sekolah lagi.

“Saya daripada kecil tengok dia. Dia pernah datang Terengganu buat aksi ngeri, buat itu ini. Dia pernah naikkan nama Malaysia. Memang masa zaman 2000 nama dia tengah megah dan memang saya tahu dia wira Malaysia.

“Bila dekat litar, beberapa kali saya jumpa dia, saya tahu, itu bintang Malaysia, tapi saya tak pernah tegur dia. Saya segan, saya hormat. Saya letak dia tahap Valentino Rossi, Micheal Schumacher sebab nama dia memang besar.

“Sebab masa saya ada penggambaran di Australia pun, dengan pasukan-pasukan pelumba di sana, bila saya duduk melepak dengan mereka, mereka tahu pasal Karamjit Singh,” katanya.

Oleh itu, bagi Zizan, Terbang adalah filem penting Malaysia yang merakam perjalanan adiwira khususnya bagi Kramjit yang menyumbang banyak kejayaan untuk negara.

“Saya terima cerita ini sebab saya fikir saya kena jayakan filem ini kerana ia akan menjadi biografi untuk Malaysia.

“Saya sudah tengok filem Rush dan Ford v Ferrari. Ini filem-filem mengenai legenda yang berasaskan fakta. Malaysia tak ada.

“Jadi saya kata, kalau watak saya bukan utama, tak banyak pun tak apa. Janji saya antara orang yang menyumbang kepada filem ini untuk berjaya, insya-Allah,” katanya.

Filem Terbang menceritakan perjalanan legenda sukan pemotoran, Karamjit Singh yang telah membawa pulang deretan kejayaan buat Malaysia.

Terbang diarahkan oleh Chiu Keng Guan serta dijayakan oleh barisan pelakon seperti Irfan Zaini, Zizan Razak, Jack Tan, Nam Ron, Shweta Sekhon, Michael Helfman, Diana Danielle, Qasrina Karim, Razib Salimin dan Ruminah Sidek.

Filem ini akan menemui penonton pada 17 September depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×