KUBANG PASU: Ketinggian kira-kira 120 meter dan permukaan laluan yang berbatu tajam dan sempit tidak mematahkan semangat penduduk untuk memastikan Jalur Gemilang bersaiz besar berkibar megah sempena Hari Malaysia di puncak Bukit Hantu, Kodiang.
Pengerusi Komuniti Bukit Hantu, Arif Fazilah Abdullah berkata, kerjasama penduduk terutama semangat golongan muda akhirnya berjaya merealisasikan idea itu setelah empat kali tiang yang dibawa naik patah akibat ribut.
Ujarnya, mereka berdepan cabaran yang hebat kerana perlu menempuh laluan sukar setiap kali mendaki ke puncak bukit ditambah dengan faktor cuaca yang menyebabkan permukaan batu menjadi licin.
“Sebenarnya proses untuk menyiapkan Jalur Gemilang berukuran sembilan meter panjang dan 4.5 meter lebar tidak sukar kerana ia dihasilkan di pekarangan surau sebelum dibawa naik.
“Namun, cabaran kami adalah untuk membawa tiang setinggi 10 meter ke atas puncak bukit kerana tidak ada laluan yang khusus melainkan perlu mendaki di atas batu dan mengusungnya secara bergilir.
“Kami sudah empat kali bawa naik tiang kayu tetapi patah kerana dilanda angin kuat, lalu kami ambil keputusan untuk guna tiang besi agar lebih kukuh di atas puncak bukit dan akhirnya kami berjaya memastikan Jalur Gemilang berkibar megah,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Firdaus Marzuki, 37, teruja kerana pertama kali terlibat dalam proses menaikkan bendera gergasi dan tiang tersebut yang amat berat ketika mendaki.
“Pendakian ke atas memang tidak sukar mana tetapi kalau bawa bersama tiang besi agak susah sebab laluannya yang mencabar tapi kami berjaya. Memandangkan ia pertama kali saya rasa sangat teruja,” katanya.
Bagi warga emas, Johari Mohd. Said, 65, bersyukur kerana semangat kerjasama penduduk tanpa mengira lapisan umur merealisasikan impian mereka mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Bukit Hantu.
“Komuniti di sini memainkan peranan masing-masing terutama anak-anak muda yang tidak mengenal penat dan jemu dalam memastikan usaha ini berjaya.
“Apatah lagi Bukit Hantu mempunyai keunikan tersendiri dan sering menerima kunjungan pendaki luar yang mahu menyaksikan keindahan sawah padi dan suasana kampung dari atas puncak,” katanya. – UTUSAN










