PETALING JAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 kini siap siaga di Kathmandu bagi melaksanakan operasi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) di Nepal.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkata, pasukan berkenaan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan, semalam.
Menurutnya, pasukan itu selesai menjalani proses ketibaan dan protokol misi termasuk urusan pelepasan logistik serta pengesahan manifest anggota pada pukul 4.30 petang waktu tempatan.
“Ketika kemas kini disampaikan, pasukan sedang bergerak ke Kedutaan Besar Malaysia di Nepal bagi menerima taklimat situasi semasa.
“Penyelarasan seterusnya akan dibuat bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan,” katanya dalam kenyataan.
Nadma berkata, penyelarasan seterusnya akan dibuat bersama Kedutaan Besar Malaysia dan agensi pengurusan kecemasan tempatan bagi menentukan aturan penugasan pasukan.
“Kedudukan keseluruhan pasukan adalah baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Nadma memaklumkan pelaporan harian misi akan diselaraskan antara agensi itu dengan Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.
Katanya, keseluruhan anggota pasukan berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang isu dilaporkan setakat kemas kini berkenaan diterima.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan 11 anggota dan pegawai SMART berlepas ke Nepal dengan menaiki pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari Pangkalan Udara TUDM Subang pada 9 pagi semalam, dengan membawa peralatan mencari dan menyelamat (SAR) seberat 12.4 tan.
Peralatan itu antaranya kelengkapan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, peranti teknologi seperti dron berkapasiti tinggi serta peralatan khas termasuk peralatan penyelamatan terowong, di samping sebuah kenderaan pacuan empat roda dan satu trak muatan 10 tan. – UTUSAN










