Nahas helikopter: Jenazah Dr. Ainul selamat dikebumikan

Nahas helikopter: Jenazah Dr. Ainul selamat dikebumikan

JENAZAH Dr. Ainul Baraah Kamarudin dibawa masuk ke dalam liang lahad untuk dikebumikan di Tanah Islam Sri Kedeper Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jenazah pegawai perubatan, Dr. Ainul Baraah Kamarudin, 33, yang maut dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Miri, Sarawak selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Kedeper, di sini hari ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan pada pukul 2.20 petang selepas selesai solat jenazah yang diimamkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad. Hadir sama Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

Lebih 1,000 penduduk termasuk suami,  keluarga, saudara mara dan masyarakat setempat hadir ke masjid berkenaan bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham di masjid berkenaan. 

Jenazah kemudian di bawa ke tanah perkuburan tersebut dengan menaiki van.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Dr. Ainul Baraah dan keluarganya dibawa pulang ke Kelantan menggunakan pesawat pengangkut C-130H Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia.

Jenazah bersama ahli keluarganya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini kira-kira pukul 11.21 pagi tadi. 

Sebelum itu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham dan Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah disolatkan selepas solat Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri, pagi ini.

Solat jenazah diimamkan oleh Penolong Imam Bahagian Miri Ustaz Mohamad Ardy Putera  Zainudin disertai kira-kira 300 jemaah.

Turut terlibat dalam pengurusan jenazah kedua-dua mangsa ialah Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Miri, Ustaz Rafaee  Morshidi.

Selepas selesai solat dan urusan penghormatan terakhir, kedua-dua jenazah akan dibawa ke Kargo Lapangan Terbang Miri untuk proses penghantaran ke kampung halaman masing-masing.

Utusan Malaysia sebelum itu melaporkan, sebuah helikopter membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, Sarawak.

Kelima-lima mangsa ialah juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30;  Dr. Ainul Baraah, Penolong Pegawai Perubatan, Adit Henry, 31; serta dua jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 44. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×