‘Menunggang agama’ wajar diganti ‘eksploitasi agama’ elak salah faham - Mufti WP

‘Menunggang agama’ wajar diganti ‘eksploitasi agama’ elak salah faham – Mufti WP

AHMAD FAUWAZ FADZIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Istilah ‘menunggang agama’ wajar digantikan dengan ‘eksploitasi agama’ kerana penggunaannya secara berleluasa boleh membawa kepada generalisasi terhadap semua golongan agamawan tanpa membezakan mereka.

Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, istilah ‘menunggang agama’ tidak wajar disebarkan dan digunakan secara berleluasa dalam kalangan awam kerana terdapat ramai golongan yang terlibat dalam agama secara ikhlas dalam usaha memperjuangkan dan meninggikan syiar agama, termasuk ulama, pendakwah dan asatizah.

“Oleh yang demikian, kami menasihati semua pihak tanpa mengira apa jua kedudukannya supaya berhati-hati dalam menggunakan istilah agama kerana bermudah-mudah menggunakan istilah ini boleh membawa kepada kerosakan pada pemikiran dan amalan.

“Apa yang lebih baik adalah dirujuk sebagai ‘eksploitasi agama’ yang memberi makna yang lebih tepat dan konotasi yang lebih objektif terhadap perbuatan tersebut,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahmad Fauwaz berkata, istilah ‘eksploitasi agama’ lebih memfokuskan kepada perbuatan atau tindakan yang menyalahgunakan sesuatu di luar had yang wajar untuk kepentingan sendiri berbanding istilah ‘menunggang’.

“Selain itu, istilah ‘eksploitasi agama’ turut lebih tepat menggambarkan struktur hubungan kuasa dalam fenomena tersebut iaitu wujudnya pihak yang mengambil kesempatan dan pihak yang dieksploitasi.

“Ini sejajar dengan makna sebenar dalil-dalil daripada al-Quran dan Sunnah. Sebagai contoh, Allah SWT mengecam perbuatan golongan paderi Yahudi dan Nasrani yang mengeksploitasi agama mereka,” katanya.

Beliau turut memetik Surah al-Taubah ayat 34 dan Surah al-Baqarah ayat 79 serta riwayat al-Tirmidzi bagi menjelaskan mengenai perbuatan eksploitasi agama.

“Secara kesimpulannya, penggunaan istilah ‘menunggang agama’ ini sudah melebihi daripada apa yang sepatutnya kerana telah membentuk suatu generalisasi yang tidak adil kepada beberapa golongan, sedangkan mereka tidak tergolong dalam kelompok tersebut.

“Oleh itu, perlu untuk dijelaskan semula dengan istilah yang lebih tepat seperti eksploitasi dan manipulasi agama. Selain daripada itu, kita dapat memahami kenapa perbuatan eksploitasi agama ini dilarang keras dalam agama. Hal ini kerana ia bukan sahaja menipu manusia, tetapi juga sanggup mempermainkan nama Allah dan agama-Nya untuk kepentingan peribadi,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×