Malaysia-Indonesia mahu satukan kekuatan halal ASEAN

Malaysia-Indonesia mahu satukan kekuatan halal ASEAN

MUZAFFAR Shah Mustafa bercakap pada sesi taklimat media di Jakarta, Indonesia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Malaysia dan Indonesia merupakan pemain utama dalam ekosistem halal dan ke­dua-dua negara seharusnya menerajui kerjasama yang lebih erat, terutama di peringkat ASEAN.

Ia seterusnya menjadi pe­neraju pembangunan halal serantau yang akan terus dikembangkan di peringkat global.

Kerjasama halal adalah antara isu yang bakal difokuskan sempena lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Jakarta bermula hari ini.

Ia antara lain bagi memperkukuh kerjasama antara ke­dua-dua negara dalam industri berkenaan selain dijangka membincangkan isu semasa termasuk jerebu rentas sempadan.

Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Muzaffar Shah Mustafa berkata, Ahmad Zahid dijadual mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka sebaik ketibaan beliau, selain beberapa pertemuan lain sepanjang lawatan bagi membincangkan hubungan dan kerjasama dua hala.

“Lawatan ini akan menjadi satu platform yang amat pen­ting, terutama dalam memajukan beberapa inisiatif dua hala yang sedang dilaksanakan termasuk pembangunan halal, pembangunan desa dan pengurusan bencana.

“Ini termasuk isu sempadan dan maritim, perdagangan dan kesalinghubungan ekonomi serta kerjasama pendidikan dan TVET, (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional),” katanya ketika sesi taklimat media di sini semalam.

Lawatan selama empat hari sehingga 20 September itu adalah atas jemputan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia sempena Sidang Kemuncak Halal 20 (H20) Kelima dengan Ahmad Zahid dijadual menghadiri majlis pembukaan pada 18 September dan menjadi ahli panel dalam sesi berkaitan kerjasama halal serantau.

Muzaffar Shah menjelaskan, Malaysia melihat H20 sebagai sebuah platform penting untuk memperkukuh dialog antara kerajaan, pihak berkuasa halal dan pemain industri ke arah membangunkan ekosistem halal yang lebih bersepadu, saling melengkapi dan juga berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata, terdapat juga cadangan bagi penubuhan Majlis Halal ASEAN dengan Malaysia dan Indonesia sebagai penggerak utama, namun perkara itu masih di peringkat perbincangan dan diharap dapat terus diperhalusi menerusi lawatan berkenaan.

Menurut beliau, perdaga­ngan antara Malaysia dan Indonesia melibatkan barangan atau produk berkaitan halal dianggarkan bernilai antara AS$2 bilion hingga AS$3 bilion setiap tahun.

Muzaffar Shah berkata, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut dijangka mengambil peluang sepanjang lawatan untuk membincangkan kerjasama pengurusan bencana dengan pihak berkaitan, susulan kebakaran hutan di Indonesia yang turut memberi kesan kepada Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×