Malaysia diminta jadi pengerusi bersama Kumpulan The Hague - Utusan Malaysia

Malaysia diminta jadi pengerusi bersama Kumpulan The Hague

MOHAMAD Hasan menyampaikan kenyataan negara pada Debat Umum Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-81 di New York, Amerika Syarikat (AS), semalam.-BERNAMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK, Amerika Syarikat: Malaysia diminta oleh beberapa negara untuk mengambil peranan sebagai Pengerusi Bersama Kumpulan The Hague bersama Afrika Selatan bagi menyuarakan pendirian dan menyelaraskan tindakan berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, permintaan itu dibuat kerana pendirian Malaysia yang lantang dalam pelbagai platform antarabangsa berhubung pelanggaran undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Banyak sangat negara-negara yang mahu kita menjadi pengerusi bersama, pengurus bersama dengan Afrika Selatan kerana disebabkan oleh suara Malaysia yang amat lantang di setiap platform ataupun pentas antarabangsa,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada Debat Umum Sesi ke-81 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA81) di sini Sabtu lepas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, beliau berkata perkara itu masih memerlukan persetujuan Kabinet, khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kumpulan The Hague ditubuhkan pada 31 Jan 2025 oleh beberapa negara termasuk Malaysia dan Afrika Selatan sebagai platform untuk mengambil tindakan undang-undang dan diplomatik secara terselaras dalam mempertahankan undang-undang antarabangsa serta berkaitan isu Palestin.

Mohamad berkata, Malaysia pada kali ini menjadi penaja bersama Kumpulan The Hague.

“Kumpulan The Hague ini ditubuhkan semata-mata untuk melihat dan menyuarakan pendapat negara-negara yang sepemikiran dengan kita berkenaan dengan pencerobohan dan juga pencabulan kepada undang-undang antarabangsa, pencabulan terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan dalam kumpulan seumpama itu membolehkan Malaysia mengukuhkan suaranya di peringkat antarabangsa melalui kerjasama dengan negara-negara yang mempunyai pendirian sehaluan.

Beliau berkata Malaysia turut menggunakan platform lain seperti G77 dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyelaras pendirian serta tindakan bersama.

Mohamad berada di New York dari 23 hingga 27 September bagi mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-81 Perhimpunan Agung PBB (UNGA).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×