PETALING JAYA: Malaysia diiktiraf sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang mencapai tahap tertinggi dalam kesiapsiagaan migrasi Kriptografi Pasca-Kuantum (PQC).
Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkata, Malaysia menduduki kedudukan Tier 1 berdasarkan Laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10, 1 September lalu.
Menurutnya, pengiktirafan itu selaras dengan kejayaan pembangunan dan pelaksanaan program migrasi PQC secara aktif di negara ini.
“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan hala tuju Kerajaan Malaysia Madani yang digerakkan secara bersepadu oleh MKN dan Agensi Keselamatan Siber Negara menerusi kepakaran Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia di bawah Cyber Security and Cryptology Development Centre Berhad.
“Penilaian itu dibuat berdasarkan bukti tindakan dan pelaksanaan peringkat nasional yang boleh disahkan secara terbuka, bukan sekadar bergantung kepada pernyataan hasrat atau kemajuan teknologi sesebuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam penilaian tersebut, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam berada pada Tier 2, manakala Filipina di Tier 3.
Laos pula diletakkan pada Tier 4, sementara Myanmar berada pada Tier 5.
MKN berkata, kesiapsiagaan PQC merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi memastikan data, maklumat, sistem serta Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII) kekal selamat dan berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum.
Katanya, persediaan awal membolehkan peralihan dilaksanakan secara terancang bagi memperkukuh keselamatan data dan maklumat kerajaan, transaksi kewangan, identiti digital, komunikasi serta kesinambungan perkhidmatan kritikal negara.
“Inisiatif strategik ini disokong secara komprehensif menerusi pelbagai inisiatif nasional, antaranya Malaysia Cyber Security Strategy 2025–2030, Dasar Kriptografi Negara dan Pelan Tindakan MyKriptografi 2026–2030,” katanya.
Selain itu, MKN berkata, kerajaan sedang memperkukuh pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan bagi memastikan NCII kekal selamat, berdaya tahan dan berdaulat.
“Langkah tersebut memerlukan kerjasama berterusan dengan ketua sektor dan entiti NCII serta pihak industri dalam penyediaan inventori aset kriptografi, penilaian risiko, pembangunan keupayaan, pengujian teknologi dan pelaksanaan migrasi secara berperingkat,” katanya. – UTUSAN










