KUALA LUMPUR: Penubuhan Majlis Halal Malaysia-Indonesia bakal memperkukuh diplomasi halal antara kedua-dua negara, selain memudah cara pensijilan bagi melancarkan perdagangan halal dua hala.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, majlis itu akan dipengerusikan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, manakala Malaysia berperanan sebagai setiausaha agung.
Beliau berkata, mesyuarat pertama majlis berkenaan dijadualkan Oktober ini dengan tumpuan memudah cara proses pensijilan halal antara Malaysia dan Indonesia.
“Bulan depan, tumpuan adalah untuk memudah cara pensijilan halal antara Malaysia dan Indonesia bagi melancarkan perdagangan halal dua hala,” katanya ketika berucap pada Global Halal Summit 2026, di sini semalam.
Malaysia dan Indonesia menandatangani memorandum kerjasama pada 2023, manakala rundingan dua hala bagi memudah cara pensijilan dan perdagangan halal antara kedua-dua negara selesai Jun lalu.
Kerjasama itu dapat mengenal pasti kaedah praktikal memudah cara perdagangan, mengurangkan pertindihan dan menghubungkan syarikat dengan rantaian bekalan serantau.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia mempunyai pengalaman dalam bidang piawaian, tadbir urus, kewangan Islam dan pemudahcaraan perdagangan, manakala Indonesia berkelebihan dari segi skala, kapasiti pengeluaran dan keusahawanan.
“Ia membolehkan kedua-dua pihak memanfaatkan kepercayaan dibina bagi membuka pasaran, memudah cara pelaburan dan mewujudkan peluang bersama,” katanya.
Kerjasama perlu diterjemahkan kepada pengurangan halangan, akses pasaran lebih mudah dan lebih banyak syarikat menjalankan perdagangan merentas sempadan.
“Masa depan halal bergantung pada sejauh mana kita menghubungkan satu sama lain dan bina kepercayaan itu,” katanya, sambil menambah Malaysia menyasarkan peningkatan eksport halal kepada RM80 bilion menjelang 2030. – UTUSAN











