LKIM bangun pangkalan data perkemas pengurusan bantuan, subsidi kepada nelayan

LKIM bangun pangkalan data perkemas pengurusan bantuan, subsidi kepada nelayan

MUHAMMAD Faiz Fadzil (tengah) menyampaikan sumbangan bantuan nelayan kepada penerima di Pejabat Penghulu Matang hari ini.- UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Sistem Pangkalan Data Nelayan (PADAN) yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan dijadikan pangkalan data induk bagi memperkemas pengurusan bantuan dan subsidi kepada komuniti nelayan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, PADAN penting bagi memastikan kelayakan penerima dapat dibuktikan dengan lebih berkesan, sekali gus memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak.

Menurutnya, sebelum ini pelbagai bentuk bantuan termasuk tabung kebajikan, bantuan bencana, perumahan, subsidi minyak dan elaun sara hidup tidak diselaraskan menerusi satu pangkalan data.

“Bila ada pangkalan data ini, ia memberikan akses kepada pihak tertentu yang memerlukan data untuk mudah mencari data mereka.

“Apa yang kita mahu wujudkan adalah peluang-peluang kebajikan kepada nelayan dapat dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra Madani di Matang, hari ini.

Beliau berkata, apabila ia beroperasi sepenuhnya, proses saringan dan pembuktian kelayakan penerima bantuan dapat dilakukan dengan lebih teratur bagi mengelakkan kemudahan yang disediakan kerajaan tersasar daripada kumpulan sasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Faiz berkata, penglibatan warga asing dalam sektor perikanan perlu dipantau menerusi penguatkuasaan menyeluruh, selain penambahan aset agensi penguat kuasa bagi mengekang pencerobohan di perairan negara.

Katanya, kekurangan aset terutama untuk pemantauan di kawasan laut lebih jauh membuka ruang kepada nelayan asing menceroboh perairan negara.

“Kalau kita ambil zon C2 pun sekitar 770 (aset) sahaja. Jadi kekurangan aset kita menyebabkan laut kita terbuka kepada pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu memodenkan vesel tempatan supaya lebih banyak bot milik rakyat Malaysia dapat beroperasi di perairan negara.

Katanya, LKIM turut memantau penggunaan pekerja asing oleh kru vesel, termasuk memastikan mereka mempunyai permit yang diperlukan.

“Setiap penggunaan pekerja asing kita pantau. Jika didapati menggunakan warga asing tanpa permit, tindakan boleh dikenakan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kesalahan permit pekerja asing adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen, manakala isu lesen vesel tertakluk kepada Jabatan Perikanan.

LKIM bagaimanapun boleh menilai semula kelayakan penerima subsidi minyak sekiranya berlaku kesalahan berkaitan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×