LINDUNG 24 Jam wira pekerja Malaysia

LINDUNG 24 Jam wira pekerja Malaysia

KAKITANGAN Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Che Nur Suhana Che Su (kanan) memberi penerangan kepada orang ramai yang hadir ke kaunter Skim LINDUNG 24 Jam pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall di sini hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tampil sebagai ‘wira’ kepada pekerja dengan menawarkan perlindungan ketika mereka berdepan risiko kemalangan, termasuk di luar waktu bekerja yang tidak dapat dijangka.

Skim itu mendapat sokongan jelas daripada pekerja yang melihatnya sebagai perlindungan tambahan dalam menghadapi sebarang risiko kemalangan tidak dijangka.

Pegawai Khidmat Pelanggan, Iffah Nur Batrisya Irdina Muhammad Kamil, 22, berkata, beliau amat teruja dan bercadang mendapatkan LINDUNG 24 Jam secepat mungkin melalui Festival Mega iLINDUNGu kerana pekerjaannya sebagai pegawai khidmat pelanggan turut memerlukan perlindungan sepenuhnya.

Menurutnya, risiko kemalangan ketika bekerja tidak boleh dijangka, sekali gus mendorongnya melihat perlindungan itu sebagai langkah keselamatan diri yang wajar dimiliki.

“Sebelum ini saya pernah mengalami kemalangan ketika pulang daripada kerja, oleh itu saya hadir ke festival ini untuk mendapat pencerahan yang lebih mendalam berkenaan skim LINDUNG 24 jam, kerana saya merasakan perkara itu amatlah penting dan saya tidak mahu lagi perkara tidak elok terjadi tanpa sebarang perlindungan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Festival Mega iLINDUNGu di pusat beli-belah Strand, hari ini.

ANTARA pengunjung yang hadir ke kaunter Skim LINDUNG 24 Jam pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall di sini hari ini.

Sementara itu, pegawai unit latihan dan pembangunan Muhd. Azri, 37, berkata, LINDUNG 24 Jam bukanlah satu bebanan kerana memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada pekerja.

Katanya, beliau sendiri sudah membuat caruman sejak skim tersebut diperkenalkan dan menyokong skim berkenaan dikekalkan kerana tidak semua pekerja mampu mendapatkan perlindungan insurans persendirian.

“Perlindungan itu penting kerana kejadian tidak diingini boleh berlaku secara tiba-tiba, termasuk ketika seseorang berada di luar waktu bekerja.

“Saya hadir untuk mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai skim berkenaan dan kini memahami pilihan serta tempoh berkaitan penyertaan selepas mendapatkan penjelasan,” katanya.

Bagi pekerja am Musa Hamdan, 39, pula menyifatkan perlindungan berkenaan penting kerana golongan penghantar berdepan risiko kemalangan yang tinggi ketika menjalankan pekerjaan.

Katanya, potongan melalui gaji bulanan tidak dianggap membebankan, malah menjadi pilihan yang lebih mampu milik berbanding perlindungan insurans persendirian.

“Saya menyokong usaha memperluaskan perlindungan berkenaan, kerana saya merasakan perkara tersebut mampu untuk melindungi saya sekiranya terdapat sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada masa hadapan.

“Saya berharap LINDUNG 24 Jam dapat diperluaskan kepada golongan penghantar pada masa akan datang supaya mereka turut mendapat perlindungan lebih menyeluruh.

ANTARA pengunjung yang hadir ke kaunter Skim LINDUNG 24 Jam pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall di sini hari ini.

Sementara itu, majikan juga berpeluang mendapatkan diskaun sehingga 80 peratus bagi Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) menerusi Festival Mega iLINDUNGu minggu ini.

PERKESO berkata, pihaknya menyediakan kaunter khas bagi pencarum yang memilih keluar LINDUNG 24 Jam untuk menyertai semula skim berkenaan.

Katanya, kemudahan itu antara pengisian yang disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan perlindungan sosial secara langsung sepanjang festival tersebut.

“Festival Mega iLINDUNGu berlangsung di Strand Mall, Kota Damansara dari 18 hingga 20 September, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam dan majlis perasmian akan disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

“Selain itu, festival itu turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti dan pempengaruh menerusi sesi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta pelbagai program interaktif bersama Pengunjung.

“Antara selebriti terlibat adalah seperti Kamal Adli, Elly Mazlein, Amyza Adnan, Zila Bakarin, Maria Tunku Sabri, Sathiya Kandi, Syazwan Syahmi dan Marc Saddique menerusi sesi Meet and Greet, bual bicara, podcast serta pelbagai program interaktif bersama Pengunjung.

CHE Nur Suhana Che Su (dua kiri) memberi penerangan kepada orang ramai yang hadir ke kaunter Skim LINDUNG 24 Jam pada Festival Mega iLINDUNGu di Strand Mall di sini hari ini.

“Memasuki penganjuran edisi ketiga, festival ini turut menampilkan persembahan artis tempatan, antaranya Andi Bernadee, Azza, Abby Abadi dan Cherpen pada Jumaat, diikuti Kartika dan Sofazr pada Sabtu. Persembahan Kristal X dan XPDC pula bakal menutup tirai festival pada Ahad,” katanya.

Dalam pada itu, Perkeso turut menyediakan kaunter khas bagi memberi penerangan serta memudahkan orang ramai membuat pilihan menyertai LINDUNG 24 Jam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×