IPOH: Hampir 4,200 rakyat di Perak berjaya ditempatkan bekerja menerusi program pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) Modular Industri sejak 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, program itu merupakan latihan yang mengikut acuan industri dan menjamin peluang pekerjaan kepada peserta setelah tamat latihan.
Katanya, sehingga Jun 2026 sebanyak 289 program dijalankan yang telah memberi manfaat kepada seramai 4,662 orang peserta dalam kalangan rakyat Perak.
“Keberkesanan program terbukti apabila sebanyak 90.09 peratus peserta telah ditempatkan bekerja selepas tamat latihan,” katanya semasa menjawab soalan Azizi Mohamed Ridzuwan (Pas-Lubok Merbau) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Katanya, kerajaan negeri menggalakkan mereka terus bekerja dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri Perak.
Tambah Khairudin, pihaknya menetapkan bahawa pelaksanaan program-program TVET perlu melibatkan pemain industri yang bertauliah dan perlu beroperasi dalam negeri Perak.
“Melalui pendekatan tersebut, peluang latihan akan diberikan keutamaan kepada anak-anak Perak, manakala padanan dan penempatan pekerjaan turut difokuskan kepada peluang kerjaya yang tersedia dalam negeri,” katanya. – UTUSAN










