Lawatan kerja ke China raih potensi pelaburan lebih RM28 bilion

Lawatan kerja ke China raih potensi pelaburan lebih RM28 bilion

ANWAR IBRAHIM ketika berucap pada Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Hangzhou Grand Convention and Exhibition Center hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANGZHOU: Malaysia meraih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil daripada perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata jumlah potensi pelaburan itu dicapai semasa perbincangan meja bulat bersama 21 syarikat dan sesi pertemuan dengan lima syarikat gergasi industri China sepanjang lawatan kerja tiga hari beliau ke Shanghai dan Hangzhou, bermula Selasa.

Menurut Anwar pelaburan berimpak tinggi ini merangkumi pelbagai sektor strategik seperti semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bioteknologi dan peranti perubatan termaju.

“Rata-rata syarikat menyatakan komitmen mereka untuk meningkatkan pelaburan atas dasar keyakinan terhadap kestabilan dan dasar yang sedang kita laksanakan.

“Secara keseluruhannya, pertemuan perniagaan ini berjaya merekodkan potensi pelaburan bernilai melebihi RM28 bilion,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Pavilion Malaysia pada Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di Hangzhou Grand Convention and Exhibition Center.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata komitmen pelabur dipacu oleh keyakinan mereka terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi Malaysia.

Perbincangan meja bulat dan pertemuan bersama syarikat gergasi China yang diadakan semasa di Shanghai dan Hangzhou diselaraskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Kedutaan Malaysia di China.

Selain membincangkan pengukuhan kerjasama pelbagai hala bersama Perdana Menteri China Li Qiang, Anwar turut menekankan mengenai perdagangan bidang teknologi baharu dan dan pemindahan teknologi AI China yang wajar dimanfaatkan Malaysia.

Perdana Menteri turut membangkitkan keresahan peniaga kecil, perusahaan mikro, dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia mengenai kebimbangan penguasaan pihak luar yang boleh menjejaskan kepentingan tempatan.

“Perkara ini telah dikemukakan secara terus dan kita mendapat jaminan daripada syarikat berkaitan, termasuk Alibaba serta Li sendiri bahawa kaedah terbaik akan dicari agar urusan perniagaan tidak menjejaskan kepentingan PKS di Malaysia,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata langkah susulan dijangka diambil selepas mesyuarat Jemaah Menteri minggu ini.

Anwar mengadakan lawatan kerja atas undangan Li dengan dua agenda utama iaitu menghadiri pertandingan kemahiran dunia iaitu WorldSkills Shanghai Competition di Shanghai dan menghadiri GDTE di Hangzhou.

Beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Li sebelum mengakhiri lawatan dan kembali ke tanah air petang ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×