Kru MV Berkat Tuah masih tunggu masalah tunggakan gaji selesai

Kru MV Berkat Tuah masih tunggu masalah tunggakan gaji selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun sudah hampir dua bulan pulang ke tanah air, isu tunggakan gaji yang membelenggu sebahagi­an kru kapal MV Berkat Tuah masih belum diselesaikan sepenuhnya.

Pegawai Kedua MV Berkat Tuah, Mohamad Luqman Yahaya, 31, berkata, sebahagian daripada mereka kini sudah kembali bekerja bagi meneruskan kehidupan, manakala selebihnya sedang menyambung sijil dalam bidang berkaitan bagi membolehkan mereka kembali bekerja.

Katanya, kru yang masih berdepan isu tunggakan gaji sedang menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Laut Malaysia dan Kesatuan Kebang­saan Pelaut Semenanjung Malaysia (NUSPM) bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Isu tunggakan gaji sebahagian kru masih belum diselesaikan sepenuhnya.

“Kami masih menunggu tindakan lanjut daripada Jabatan Laut Malaysia dan NUSPM,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Selain Mohamad Luqman yang berasal dari Terengganu, kru lain ialah Mark Martin, 39, dari Sarawak; Mohd. Shah Rizan Rahman, 33, dan Mohd. Fariduddin Muhamad Jainudin, 26, masing-masing dari Sabah serta kapten kapal, Hendi Irawan, 43.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kru, syarikat pe­ngendali dan pemilik kapal MV Berkat Tuah didakwa menjadi mangsa penganiayaan komersial sehingga mengakibatkan anak kapal terkandas lebih setahun di perairan UAE.

Penderitaan yang dialami mereka dikatakan berpunca daripada kekangan dana me­runcing yang dihadapi syarikat pengendali.

Krisis itu didakwa bermula susulan tindakan sebuah syarikat berpangkalan di Singapura menahan kapal berkenaan dan mengingkari perintah mah­kamah berhubung liabiliti kewangan.

Dynamic Navigation Sdn. Bhd. selaku syarikat pengendali menjelaskan, kegagalan syarikat terbabit menyalurkan dana menyebabkan pihaknya terpaksa menanggung beban kos sehingga kehabisan sumber kewangan.

Walaupun berhadapan ma­salah tunggakan gaji, Mohamad Luqman berkata, kebajikan mereka masih dipantau dari semasa ke semasa oleh Jabatan Laut Malaysia dan NUSPM.

Katanya, kedua-dua pihak turut membantu dalam usaha menyelesaikan perkara yang masih tertangguh, khususnya tunggakan gaji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×