PETALING JAYA: Kotak plastik yang disyaki mengandungi bahan radioaktif dan ditemukan di Sri Petaling pada Isnin lalu rupanya mengandungi alat permainan yang digunakan sebuah syarikat bagi aktiviti program bina insan bersama kakitangannya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, alat mainan itu digunakan sebuah syarikat untuk aktiviti bina insan bersama kakitangan.
Katanya, pihaknya sudah berhubung dengan syarikat terlibat berhubung penemuan kotak itu.
“Hasil siasatan mendapati kotak berkenaan ditinggalkan oleh seorang pekerja syarikat berkenaan. Ia mengandungi 20 unit bata plastik permainan Radioactive Bomb.
“Permainan itu digunakan dalam aktiviti berkumpulan dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kegiatan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chang Hook berkata, wakil syarikat memaklumkan alat permainan itu digunakan semasa program pembangunan pasukan di Ipoh, Perak pada 11 September lalu dan dibawa pulang oleh kakitangan syarikat.
Bagaimanapun, katanya, keesokan harinya pekerja terbabit yang keletihan dipercayai tertinggal kotak itu di hadapan sebuah farmasi pada 11 malam ketika mahu pulang ke rumah.
Menurutnya, semakan lanjut juga mendapati permainan ‘Radioactive Bomb’ itu bertujuan menggalakkan kerjasama antara ahli pasukan serta meningkatkan kecergasan minda pemain.
“Permainan interaktif itu turut disokong modul yang disediakan dalam bentuk fail PDF oleh syarikat berkenaan,” jelasnya
Pada 14 September lalu, Unit Pemusnah Bom (UPB) terpaksa memusnahkan sebuan kotak plastik yang disyaki mengandungi bahan radioaktif selepas ditemukan dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah kedai di Sri Petaling.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut Jabatan Tenaga Atom mendapati tiada bacaan radioaktif dikesan di lokasi kejadian.
Pemeriksaan selepas objek berkenaan dimusnahkan turut menemukan beberapa kotak yang disyaki mengandungi blok binaan berwarna-warni seperti Lego. – UTUSAN










