SHAH ALAM: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus menjadi lubuk sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dalam skala besar.
Terbaharu, satu cubaan menyeludup bunga ganja bernilai RM33.4 juta ke Eropah melalui KLIA berjaya ditumpaskan polis dengan rampasan 418 kilogram (kg) dadah dalam 10 kes berasingan.
Rampasan membabitkan 671 plastik ketulan dadah itu turut membawa kepada penahanan 11 warga asing dan seorang orang tengah warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, semua tangkapan dibuat antara 28 Ogos hingga Isnin lalu hasil siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA bersama Polis Bantuan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB).
Warga asing ditahan terdiri daripada empat lelaki dan tujuh wanita berusia antara 17 hingga 62 tahun yang dipercayai dijadikan keldai dadah.
“Siasatan awal mendapati modus operandi mereka adalah masuk ke negara ini sebagai pelancong menggunakan pas lawatan sosial sebelum ketika pulang, mereka dikehendaki membawa bagasi yang bukan milik mereka.
“Itu antara taktik keldai dadah apabila mereka ditawarkan bayaran tertentu berserta pakej pelancongan di negara ini yang ditanggung sepenuhnya,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.
Shazeli berkata, menerusi tangkapan berkenaan, polis turut merampas pelbagai barangan lain termasuk dua buah kereta Toyota Vios dan Perodua Alza serta wang tunai RM37,700 dalam bentuk mata wang asing.
“Semakan polis mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod lampau dengan enam daripada mereka sudah dituduh di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Enam lagi masih direman untuk membantu siasatan, manakala runner seorang lelaki tempatan itu pula merupakan pembekal dadah, namun dia tidak mempunyai kaitan dengan sembilan sindiket lain,” katanya.
Kesemua suspek dipercayai pertama kali terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan tawaran kerja lengkap dengan pakej pelancongan di luar negara sehingga akhirnya terjebak menjadi keldai dadah,” katanya. – UTUSAN











