KLIA kekal Megahub paling terhubung Asia Pasifik

KLIA kekal Megahub paling terhubung Asia Pasifik

GAMBAR Hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus mengukuhkan peranan sebagai pintu masuk utama Asia dan dunia apabila mengekalkan kedudukan keempat sebagai lapangan terbang paling terhubung di peringkat global.

Pencapaian menerusi Indeks Megahubs OAG 2026 itu sekali gus menyaksikan KLIA kekal mempertahankan tempat pertama sebagai Megahub paling terhubung di rantau Asia Pasifik.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertumbuhan di KLIA bukan sekadar menambah lebih banyak destinasi, sebaliknya memastikan pengalaman perjalanan yang lancar seiring peningkatan trafik penumpang dan penerbangan.

“Kedudukan KLIA dalam kalangan Megahub paling terhubung di dunia mencerminkan keutuhan dan keluasan rangkaian penerbangan kami hasil usaha bersama rakan syarikat penerbangan, pasukan lapangan terbang dan pemangku kepentingan industri.

“Hasrat kami adalah untuk terus memperkukuh kedudukan KLIA sebagai Megahub paling terhubung di Asia Pasifik, manakala kecemerlangan perkhidmatan kami kekal seiring dengan pertumbuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut OAG, kapasiti KLIA berkembang sebanyak 6.9 peratus yang disokong oleh perluasan rangkaian syarikat penerbangan.

Sehingga kini, KLIA telah menyambut tujuh syarikat penerbangan berjadual baharu dan sembilan laluan baharu merangkumi destinasi seperti Riyadh, Algeria dan Jinan, manakala Malaysia Airlines turut memperkukuh laluan ke Jepun menerusi perkhidmatan terus Fukuoka–Kuala Lumpur.

Rangkaian berkenaan dijangka terus berkembang menjelang akhir tahun ini menerusi kemasukan Gulf Air, Hainan Airlines, Zipair, Thai Vietjet, serta kembalinya Lufthansa pada Oktober ini yang menawarkan lima penerbangan mingguan menghubungkan Frankfurt ke Kuala Lumpur.

MAHB berkata, bagi menyokong pertumbuhan berkenaan, KLIA melaksanakan pelbagai penambahbaikan perkhidmatan merangkumi kaunter daftar masuk dan kemudahan ‘self-service bag drop’, pengurusan trafik menerusi Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS), serta sistem e-hailing baharu di Terminal 1.

“Turut disediakan kemudahan troli tambahan, kerusi roda dan kereta sorong bayi percuma, ruang mesra keluarga, serta bilik khas ‘Calm Room’ dan taman permainan ‘Harimau Playground’ di Terminal 2.

“Selain itu, tarikan baharu seperti RIMBA dan ‘Heritage Walls’ turut dibawakan bagi memperkaya pengalaman penumpang menerusi elemen alam semula jadi dan warisan budaya tempatan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×