Ketengah fakta sejarah Kluang, British bangunkan sebagai bandar pentadbiran - Utusan Malaysia

Ketengah fakta sejarah Kluang, British bangunkan sebagai bandar pentadbiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sejarah Kluang perlu dilihat berdasarkan fakta dan bukan naratif popular yang mengaitkan tokoh perniagaan sebagai pengasas bandar berkenaan.

Penulis Simen Lourds Samy berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan sejak 2021, kewujudan Kluang sebagai sebuah bandar pentadbiran bermula dengan peranan British yang datang ke kawasan itu pada 1915 selepas mengadakan rundingan dengan Kesultanan Johor.

Katanya, tokoh perniagaan seperti Gan Kian Wee dan Lee Kong Chian sememangnya memainkan peranan dalam perkembangan ekonomi Kluang, namun mereka bukan individu yang membangunkan bandar itu pada peringkat awal.

“Orang yang mendirikan bandar Kluang ialah British. Mereka datang ke sini pada tahun 1915 dan pada masa itu mereka berunding dengan Sultan Johor dan mengatakan Kluang harus menjadi bandar pentadbiran seperti ibu negara.

“Tokoh perniagaan seperti Gan Kian Wee atau Lee Kong Chian adalah orang yang menjalankan perniagaan dan mendirikan perniagaan mereka untuk membantu membangunkan bandar Kluang, tetapi mereka bukan orang yang mula-mula membina bandar Kluang.

“Sejarah itu mesti tepat, kita tidak boleh suka-suka cerita,” katanya.

Simen turut berkata, penelitian terhadap sejarah Kluang turut meliputi perkembangan ladang serta jaringan kereta api yang menjadi antara nadi penting menghubungkan kawasan utara dan selatan Semenanjung.

Menurutnya, perkembangan Kluang tidak boleh dipisahkan daripada kepelbagaian masyarakat yang menetap di bandar itu, termasuk Melayu, Cina, India dan Punjabi.

Beliau berkata, hubungan antara masyarakat pelbagai kaum yang saling membantu turut menjadi sebahagian daripada identiti Kluang yang wajar direkodkan dalam sejarah tempatan.

“Ini bukan hanya mengenai bangunan atau jalan, tetapi mengenai masyarakat yang membentuk Kluang,” katanya.

Simen berkata, usaha mendokumentasikan sejarah Kluang itu bermula ketika pandemik Covid-19 pada 2021, apabila beliau mempunyai lebih banyak masa untuk menjalankan kajian dan mengumpulkan maklumat daripada pelbagai sumber termasuk pandangan penduduk tempatan.

Beliau turut menelusuri pengalaman peribadi membesar berhampiran Gunung Lambak serta kisah keluarganya yang menurutnya turut membentuk hubungan rapat dengan bandar berkenaan.

Katanya, walaupun berhijrah ke Singapura pada era 1970-an untuk mencari rezeki dan kemudiannya berkhidmat sebagai guru, hubungan emosinya dengan Kluang tidak pernah terputus.

Hasil kajian itu kemudiannya diterbitkan menerusi buku Kluang: Heart of the Flying Fox, yang menghimpunkan catatan berkaitan sejarah, perkembangan bandar dan pengalaman masyarakat tempatan.

Simen berkata, usaha merekodkan sejarah Kluang penting bagi memastikan generasi akan datang memahami bagaimana bandar itu berkembang serta tidak bergantung semata-mata kepada cerita popular yang belum disahkan.

Beliau berkata, sejarah tempatan perlu didokumentasikan dengan lebih teratur kerana perubahan masa boleh menyebabkan sebahagian fakta, pengalaman dan kisah masyarakat semakin dilupakan.

“Bila kita bercakap tentang sejarah, kita perlu pastikan fakta itu tepat. Kalau tidak, generasi akan datang akan menerima cerita yang tidak tepat sebagai sejarah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Simen memaklumkan sebahagian hasil jualan buku berkenaan akan disalurkan kepada beberapa badan kebajikan.

Antaranya Miriam Home, Pertubuhan Anak-Anak Yatim Damo di Kluang, rumah orang tua serta Kelab Kiwanis.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×