SEREMBAN: Keputusan sampel asid deoksitibonukleik (DNA) Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham dijangka mengambil masa sehingga empat hari lagi untuk diketahui sebelum jenazahnya dapat dibawa pulang ke Negeri Sembilan.
Bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, dia dimaklumkan proses pengecaman DNA masih belum dapat dimulakan kerana bedah siasat terhadap jasad mangsa masih berlangsung.
“Semalam, sampel DNA saya dan isteri telah pun diambil. Namun, saya difahamkan sampel berkenaan masih belum dihantar kerana proses bedah siasat masih berlangsung.
“Jadi, proses itu kemungkinan mengambil masa. Apabila keputusan DNA sudah diperoleh, barulah saya tahu bila kami boleh membawa pulang jenazah Allahyarham ke Negeri Sembilan. Mungkin kena tunggu sehingga empat hari lagi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, urusan membawa pulang jenazah Allahyarham akan diuruskan sama ada oleh pihak syarikat atau Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Bee Sham dalam pada itu turut memohon orang ramai terus mendoakan agar segala urusan pengecaman dan penghantaran pulang jenazah anaknya dipermudahkan.
Katanya, pihak keluarganya sudah reda dengan apa yang telah ditakdirkan Allah SWT dan bersedia menerima Allahyarham walau apa pun keadaannya.
“Pihak keluarga reda dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT dan menerima apa walau apa pun keadaan sekali pun.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan ucapan dan doa. Keluarga sangat menghargainya,” katanya. – UTUSAN










