TUGAS seorang wakil rakyat bukan sekadar memikul tanggungjawab menghadiri program rasmi atau menyampaikan bantuan sebaliknya amanah digalas turut menuntut seseorang pemimpin sentiasa berada di lapangan bagi menyelami denyut nadi rakyat.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Izizam Ibrahim, atau lebih mesra disapa sebagai YB Adi, setiap aduan rakyat perlu diberi perhatian kerana perkara yang kelihatan kecil pada pandangan sesetengah pihak mungkin memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian mereka.

Sejak diberi mandat oleh rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), beliau menjadikan beberapa aspek sebagai keutamaan dalam menyampaikan khidmat antaranya seperti isu kebajikan, kemudahan asas, infrastruktur, perumahan, peluang ekonomi, tanah, pendidikan dan pembangunan golongan belia.
Menurut Izizam, beliau memegang prinsip mudah di mana setiap masalah dibawa oleh rakyat perlu diusahakan jalan penyelesaiannya mengikut bidang kuasa dan saluran yang betul.

“Sekiranya sesuatu perkara berada di bawah kerajaan negeri, usaha akan dilaksanakan untuk menyelesaikannya manakala masalah yang membabitkan agensi lain pula akan dibawa kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
“Pendekatan ini penting memandangkan kawasan DUN Titi Tinggi mempunyai cabaran tersendiri terutama kedudukannya di kawasan Utara Semenanjung Malaysia dan berhampiran sempadan yang memerlukan perancangan pembangunan secara lebih menyeluruh,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Sebagai kawasan yang mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti sempadan di Padang Besar, Izizam juga melihat pembangunan di DUN Titi Tinggi perlu bergerak seiring dengan usaha memperkukuh ekonomi kawasan sempadan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata, pembangunan kawasan itu tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan fizikal semata-mata sebaliknya perlu mengambil kira manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“DUN Titi Tinggi berpotensi menjadi kawasan yang mempunyai peluang ekonomi lebih baik untuk anak-anak muda dan masyarakat tempatan.
“Peluang ekonomi lebih luas ini juga adalah penting bagi memastikan anak-anak muda tempatan mempunyai pilihan untuk membina kehidupan dan kerjaya di negeri sendiri,” katanya.
Izizam berkata, dalam merancang pembangunan, beliau tidak melihat mana-mana kampung atau kawasan sebagai keutamaan kerana keseluruhan DUN Titi Tinggi merupakan amanah yang harus dipikul olehnya.
Ujar beliau, namun begitu, fokus tetap diberikan kepada kawasan yang mempunyai keperluan mendesak termasuk keluarga berpendapatan rendah, masalah perumahan, kekurangan kemudahan awam dan infrastruktur yang memerlukan perhatian.

BIODATA:
Izizam Ibrahim
Umur: 49 tahun
Pendidikan: Ijazah Pentadbiran Perniagaan (BBA)
Jawatan:
*Ketua Bersatu Bahagian Padang Besar
*Timbalan Badan Pimpinan Bersatu Perlis
*Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama; Perumahan & Kerajaan Tempatan; Kepenggunaan; Sumber Manusia & Modal Insan
“Pendekatan itu juga selari dengan prinsip saya sebagai wakil rakyat yang mahu setiap aduan masyarakat diberikan perhatian, bukannya sekadar diterima dan kemudian dibiarkan tanpa tindakan susulan,” katanya.
Izizam berkata, masalah seperti jalan rosak, longkang, lampu, kemudahan awam atau isu perumahan tidak seharusnya dipandang remeh kerana isu berkenaan melibatkan keselesaan dan keselamatan rakyat.
Dalam memastikan setiap permasalahan mendapat tindakan susulan, Izizam berkata, beliau juga akan memperkemaskan sistem pemantauan aduan di pusat khidmat supaya setiap laporan diterima tidak berakhir sekadar atas kertas.
“Kita ada tiga perkara diberi keutamaan iaitu terima aduan, ambil tindakan dan pantau sehingga selesai,” katanya.
Jelas Izizam, dalam menyampaikan khidmat, beliau mendapat sokongan kuat daripada beberapa pihak seperti ahli keluarga, rakyat, pimpinan kerajaan negeri, rakan ADUN, pegawai kerajaan dan pelbagai lagi.
Katanya, pengalaman pemimpin yang lebih lama dalam arena politik dan pentadbiran turut menjadi sumber rujukan buat dirinya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Menjadi wakil rakyat bukan bermaksud kita sudah tahu semuanya. Sebaliknya kita perlu sentiasa belajar, mendengar dan menerima pandangan orang lain,” katanya.
Tambahnya, beliau juga berharap agar rakyat DUN Titi Tinggi selepas ini dapat menikmati kehidupan lebih selesa dan peluang ekonomi baik dengan anak-anak muda tidak perlu merantau jauh mencari rezeki di perantauan.
“Saya sedar tidak mampu menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata. Tetapi saya boleh berjanji selagi diberi amanah, saya akan terus turun padang, mendengar suara rakyat dan berusaha memperjuangkan apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.-UTUSAN










