PUTRAJAYA: Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, isteri dan dua anaknya tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini sebentar tadi.
Timbalan Presiden MIC itu tiba dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah diiringi dua kenderaan lain kira-kira pukul 9.15 pagi tadi.
Ahli Parlimen Tapah itu hadir ke Ibu Pejabat SPRM susulan notis pengisytiharan harta dikeluarkan badan pencegahan rasuah itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman dilaporkan berkata, notis pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009 itu mengkehendaki empat beranak itu mengisytiharkan harta dalam tempoh sebulan.
Difahamkan, tindakan sama akan dilakukan terhadap seorang lagi anak Saravanan pada November ini kerana masih berada di luar negara.
Saravanan sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima suapan hampir RM1.09 juta berkaitan kelulusan 1,000 kuota pekerja asing untuk sebuah syarikat yang didakwa dilakukan empat tahun lepas. – UTUSAN











