Impian Arif beli kasut bola tidak kesampaian

Impian Arif beli kasut bola tidak kesampaian

MUHAMMAD Irfan Hafizzudin Khairol Anuar menunjukkan gambar adiknya, Muhammad Iman Nuruddin yang lemas di Kulim, semalam. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Hasrat seorang kanak-kanak memiliki sepasang kasut bola untuk persiapan latihan di sekolah bulan depan tidak kesampaian apabila dia dan abang tirinya lemas bersama dua rakan selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim, kelmarin.

Muhammad Arif Naufan, 8, dan abang tirinya, Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, antara empat kanak-kanak maut dalam kejadian itu.

Dua lagi mangsa ialah Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.

Bapa Muhammad Arif Naufan, Mohd. Ashrofudin Ramdzon, 41, berkata, sejak tiga hari lalu anaknya meminta dibelikan kasut bola kerana akan menjalani latihan di sekolah bulan depan.

Permintaan itu masih terngiang-ngiang selepas dia meminta anaknya menunggu sehingga mendapat cuti untuk membawanya ke kedai.

“Semalam pun dia minta dan saya beritahu tunggu abah cuti dulu baru kita keluar beli, tetapi sedihnya tak sempat.

“Saya terasa sungguh sebab arwah sangat manja dan jarang berenggang kecuali masa saya ke tempat kerja sahaja,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam.

Mohd. Ashrofudin sempat bertemu anaknya sebelum keluar bekerja sebagai pembantu keselamatan di sebuah agensi kerajaan kira-kira pukul 3 petang.

Abang Muhammad Iman Nuruddin, Muhammad Irfan Hafizuddin, 20, berkata, dia cuba menyelamatkan adiknya dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) bersama beberapa individu selama kira-kira 15 minit.

Katanya, adiknya kemudian dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans, namun tidak menunjukkan sebarang tindak balas.

“Sebelum itu ibu minta saya cari adik kerana belum pulang ke rumah dan sudah hampir waktu Maghrib.

“Sebaik keluar rumah, saya nampak orang ramai dekat longkang. Saya terus ke situ dan terkejut melihat adik tidak sedarkan diri,” katanya.

Dia yang terkejut melihat adiknya tidak sedarkan diri turut dimaklumkan adiknya mangsa pertama ditemui dalam longkang, manakala mangsa lain dihanyutkan hingga ke kolam tadahan berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring berkata, empat kanak-kanak itu dipercayai terjatuh ke dalam longkang dianggarkan sedalam 3.05 meter dan lebar 1.83 meter ketika cuba mengambil bola yang terjatuh ketika mereka bermain.

Bagaimanapun, katanya, tiada saksi melihat kejadian itu berlaku. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×