ALOR SETAR: Malaysia akan terlepas peluang untuk memiliki pusat Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik pulih (MRO) terbesar di Asia Pasifik sekiranya pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) tidak direalisasikan.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pembangunan pusat penyedia perkhidmatan MRO yang hampir sama kini juga sedang dirancang untuk dibina di Kuala Namu Sumatera, Indonesia.
“Jika kita tidak merebut peluang ini dalam kalangan pemain industri kargo antarabangsa, jika ia tidak berlaku di Malaysia pada tahun-tahun ke depan ini, maka ia sedang bergerak ke Sumatera.
“Opsyen yang hampir sama dengan Kedah adalah Kuala Namu di Sumatera, kalau tak direbut dibawa ke Kedah saya yakin satu pusat kargo terbesar di rantau Asia Pasifik akan berada di Indonesia,” katanya ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) Negeri Kedah yang turut dihadiri Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini, semalam.
Terdahulu pada program berkenaan, Muhammad Sanusi sekali lagi mengambil kesempatan menjelaskan tentang kepentingan KXP kepada penduduk Kedah khususnya.
“Kerajaan negeri turut berharap agar pembangunan Kedah Aerotropolis diberi perhatian secara keseluruhannya termasuk cadangan pembangunan KXP yang merupakan komponen utama bagi pembangunan tersebut.
“KXP dirancang sepenuhnya untuk dibangunkan sebagai sebuah lapangan terbang kargo dan bukan lapangan terbang berasaskan penumpang. Saya sudah menjelaskan ini sudah 100 kali,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tanggapan bahawa pembangunan KXP akan menjadi saingan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) adalah tidak berasas.
“KXP bukan sahaja tidak akan menjadi saingan malah menjadi pelengkap kepada kewujudan LTAPP. Pembangunan lapangan terbang KXP amat signifikan lagi diperlukan dalam konteks pembangunan ekonomi negara kita khususnya di Wilayah Utara.
“Rakan-rakan pelabur antarabangsa yang menyatakan komitmen untuk terlibat aktif di KXP menaruh keyakinan yang tinggi bahawa KXP berpotensi untuk menjadi ‘economic game changer’ pada masa hadapan,” katanya.
Oleh itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri tetap berharap untuk diberi peluang menjelaskan secara terperinci akan kepentingan projek itu kepada rakyat dan negara secara langsung di hadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri.
Sementara itu, Rafizi berkata, kerajaan negeri perlu membuktikan kemampuan kewangan syarikat yang melabur dalam pembangunan KXP untuk memastikan projek itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepada kerajaan dan rakyat pada masa hadapan.
Tegasnya, Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai masalah untuk meluluskan projek tersebut sekiranya syarikat terlibat menunjukkan kemampanan kewangan bagi jangka masa panjang.
“Kalau tidak, ia akan jadi beban pada masa hadapan. Jadi, itu pandangan yang saya berikan secara terbuka kepada kerajaan negeri. Saya faham pandangan-pandangan dan projek-projek yang kerajaan negeri tumpukan termasuklah KXP dan lain-lain.
“Pandangan yang saya berikan itu terbuka tapi tumpuan saya nanti adalah untuk memastikan projek-projek ini akan berjaya mencapai kemampanan kewangan supaya ia dapat berfungsi secara swasta dengan baik tanpa memerlukan tanggungan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Rafizi menegaskan, mana-mana projek mega seperti KXP termasuk melibatkan pelaburan daripada syarikat korporat perlu diteliti dengan terperinci agar tidak mendatangkan masalah sehingga menjadi projek gajah putih.
“Yang kita bimbang adalah jika projek itu nampak baik di mata kasar tetapi apabila kita lihat secara terperinci, kita ada kebimbangan dari segi kemampanan kewangan. Atas sebab itu kita perlu memperincikan cadangan KXP,” katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Rafizi, kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada usaha merapatkan jurang pembangunan semua negeri termasuk Kedah.
“Dasar kita adalah untuk memastikan bahawa peruntukan perbelanjaan pembangunan negeri-negeri yang ada jurang pembangunan yang besar iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diberi keutamaan,” ujarnya. – UTUSAN.










