Ibu dakwa anak didera dua jam, lima suspek ditangkap

Ibu dakwa anak didera dua jam, lima suspek ditangkap

SITI Rohani Yusof menunjukkan bahagian badan anaknya yang lebam akibat dibuli di asrama sebuah sekolah menengah agama di Bukit Ibam di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Lima pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama di Bukit Ibam, dekat sini, ditahan selepas disyaki memukul pelajar tingkatan dua dalam kejadian di asrama sekolah itu pada 12 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, setakat ini pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Bukit Ibam sejak 17 September lalu.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.01 tengah malam apabila dua pelajar yang merupakan mangsa dipanggil ke bilik asrama lelaki nombor 203 oleh sekurangnya lima pelajar terdiri daripada tiga pelajar tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan empat,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad Zamri berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa pertama didakwa ponteng kuliah agama, manakala mangsa kedua dipercayai bersubahat dengannya.

“Kedua-dua mangsa kemudian dipukul oleh kesemua suspek. Mangsa pertama mengalami kecederaan pada kedua-dua lengan, manakala mangsa kedua mengalami kecederaan pada badan,” katanya.

Mohamad Zamri berkata, kesemua lima suspek sudah ditangkap dan diberikan jaminan polis sementara siasatan diteruskan.

Sementara itu, Siti Rohani Yusof, 40, ibu kepada Muhammad A’isy Raihan Shahroni, 14, salah seorang mangsa yang didakwa dipukul menggunakan batang penyapu, ditampar dan disepak secara beramai-ramai ketika kejadian, mendakwa penderaan itu berlangsung selama kira-kira dua jam.

Menurutnya, anaknya turut mendakwa kepalanya ditutup ketika dipukul, selain diugut untuk dicederakan menggunakan pisau.

Dakwa, anaknya juga menerima ugutan untuk dipukul sekali lagi sebelum dibuang sekolah.

Siti Rohani turut mendakwa pihak sekolah sudah dimaklumkan kejadian itu, namun kesal kerana anaknya tidak dibawa mendapatkan rawatan atau dimaklumkan kepada ibu bapa lebih awal.

Katanya, laporan polis dibuat pada 17 September lalu dan anaknya kini sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Ibu tunggal itu berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil bagi menjamin keselamatan pelajar asrama, selain mengelakkan kejadian sama berulang sehingga menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×