PETALING JAYA: Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang mengendalikan sebanyak 69 kes intervensi kardiologi dalam tempoh sehari pada 18 September lalu, termasuk 29 kes kecemasan dan empat prosedur Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI).
Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan warga Pusat Jantung HSIS dalam menyediakan perkhidmatan rawatan jantung berkualiti tinggi secara pantas, selamat dan berkesan.
Menurutnya, Pusat Jantung HSIS turut mengendalikan hampir separuh iaitu 45 peratus daripada keseluruhan kes intervensi kardiak yang dikendalikan oleh 10 pusat jantung KKM.
“Pada 18 September 2026, warga Pusat Jantung Hospital Sultan Idris Shah (PJ HSIS) sekali lagi membuktikan keupayaan mereka dengan mengendalikan sebanyak 69 kes intervensi kardiologi dalam tempoh sehari.
“Pusat Jantung HSIS mengendalikan hampir separuh (45 peratus) kes intervensi kardiak daripada jumlah kes di semua 10 pusat jantung KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KKM berkata, operasi biasa pusat berkenaan bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang dengan tujuh makmal kateterisasi jantung (Cath Lab) beroperasi sepenuhnya bagi memastikan rawatan diberikan mengikut keperluan pesakit.
Katanya, selepas tamat waktu pejabat, empat lagi Cath Lab terus beroperasi sehingga lewat malam bagi menyelesaikan baki kes yang masih menunggu rawatan.
“Operasi berintensiti tinggi ini melibatkan seramai 80 petugas kesihatan terdiri daripada 14 pakar kardiologi, enam pegawai perubatan, 10 juru X-ray, lapan penolong pegawai perubatan serta 40 jururawat dan pembantu perawatan kesihatan yang berganding bahu memastikan setiap prosedur berjalan lancar,” katanya.
Tambah KKM, daripada keseluruhan kes itu, sebanyak 40 merupakan kes elektif manakala 29 lagi adalah kes kecemasan termasuk empat prosedur Primary PCI yang memerlukan tindakan pantas bagi menyelamatkan nyawa pesakit serangan jantung.
Pusat berkenaan turut membuktikan kepakaran dalam mengendalikan kes koronari kompleks apabila sebanyak 13 kes berjaya dilaksanakan menggunakan teknologi pengimejan intravaskular (IVUS) bagi membantu rawatan lebih tepat dan selamat.
KKM berkata, antara prosedur berteknologi tinggi yang berjaya dijalankan termasuk empat kes RotaPro Rotational Atherectomy dan tiga kes Intravascular Lithotripsy.
“Rawatan berkenaan dikhususkan kepada pesakit yang mengalami saluran darah jantung yang sukar dirawat menggunakan kaedah biasa,” katanya.
Menurut KKM, pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi, kecekapan serta semangat kerja berpasukan seluruh warga kardiologi HSIS dalam memastikan pesakit menerima rawatan jantung berkualiti tinggi secara cepat, selamat dan berkesan. – UTUSAN











