Hos baharu tak perlu jadi 'Fiza Sabjahan'

Hos baharu tak perlu jadi ‘Fiza Sabjahan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Fiza Sabjahan memaklumkan tiga hos baharu, Izza Izelan, Nurin Razmyn dan Hanna Faresha mempunyai karakter yang berbeza dengan pengacara sebelumnya.

Kata Fiza yang juga Penerbit Eksekutif program tersebut, itu menjadi faktor utama kepada pemilihan mereka sebagai hos baharu WHI yang bersiaran setiap Ahad, pukul 2 petang.

“Mereka tidak perlu menjadi saya sebaliknya kena tampil dengan gaya pengacaraan yang lebih segar dan menarik.

“Jika mereka belum dikenali, kita bagi peluang untuk menonjol. Saya pun ambil 10 tahun untuk menyerlah.

“Lagi pun, pengacara WHI ramai. Jadi mungkin mereka ambil masa untuk menonjol. Tapi saya percaya dengan mereka,” katanya sewaktu majlis pelancaran wajah baharu WHI di Jalan Riong, di sini.

Izza, Nurin dan Hanna menyertai Fiza serta dua pengacara iaitu Shahira Izzaty dan Sugeeta Chandran bagi menerajui program bual bicara berkenaan.

Kata pemilik nama penuh Siti Hasfizza Aswaty Sab Jahan itu, selain hos baharu, WHI juga menampilkan topik-topik yang sesuai dikupas mengikut peredaran semasa.

“Contoh kami kupas mengenai suami sonsang pada episod pertama. Isu ini rancak dibualkan di Thread sekarang ini,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Fiza juga bersyukur kerana penonton tetap memilih WHI sebagai wadah tontonan seisi keluarga sehingga menjadikan program berkenaan sebagai rancangan kewanitaan nombor satu di Malaysia.

“Penerimaan penonton sama ada dalam televisyen atau digital, sangat baik. Lebih-lebih lagi di platform media dalam talian yang adakalanya kandungan yang dimuat naik merekodkan jumlah tontonan 1 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×