Hampir selesai, saya berurusan dengan pihak KWSP sendiri untuk buat bayaran secara berperingkat - Mila Jirin - Utusan Malaysia

Hampir selesai, saya berurusan dengan pihak KWSP sendiri untuk buat bayaran secara berperingkat – Mila Jirin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan, Mila Jirin mendedahkan isu tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selama 10 bulan membabitkan kira-kira 200 pekerjanya kini hampir selesai.

Mila atau Norsyarmilla Jirin, 39, berkata, dia sebagai majikan sememangnya berpegang dengan akta sedia ada dan berharap untuk menyelesaikan isu ini secepat mungkin.

“Seperti yang saya maklumkan di media sosial, semuanya hampir selesai. Sebenarnya perkara ini berlarutan daripada isu Covid dahulu.

“Tidak 100 peratus selesai tetapi hampir selesai. Jangan risau sebab saya bekerjasama dengan KWSP sendiri untuk buat bayaran secara berperingkat, InsyaAllah.

“Kalau tidak, saya tetap tertakluk kepada akta sebagai majikan. Jadi, kami perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Mila, dia juga kerap mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa bagi memastikan proses penyelesaian berjalan lancar dan menolak tanggapan kononnya tiada tindakan diambil terhadap isu berkenaan.

“Saya ada baca komen yang kononnya pihak berwajib tidak ambil tindakan. Tidak, kıta bermesyuarat dengan mereka sangat kerap untuk menyelesaikan apa yang belum diselesaikan.

“Inilah tanggungjawab seorang majikan. Semakin ramai pekerja, semakin besar kos dan komitmen yang perlu ditanggung,” ujarnya.

Ditanya mengenai jumlah tunggakan yang perlu ditanggung, Mila memilih untuk enggan mendedahkan angka tersebut atas faktor privasi syarikat.

“Jumlah sebenar sangat peribadi. Tapi kalau saya boleh maklumkan, gaji pekerja saja mencecah RM700,000 sebulan. Saya rasa orang ramai boleh congak sendiri berapa kos caruman KWSP untuk jumlah itu,” katanya.

Dalam masa sama, Mila berkata dia tidak mengambil hati apabila terdapat individu yang mendedahkan isu tersebut di media sosial.

“Bila saya dah ambil keputusan untuk menjadi seorang usahawan, majikan, inilah dia punya natijahnya. Tambah pula dengan status selebriti itu. Tapi tidak mengapa, saya akan selesaikannya,” katanya.

Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial mendakwa syarikat milik Mila gagal mencarum KWSP pekerja selama 10 bulan.

Mila tampil menjelaskan perkara sebenar berpunca daripada impak teruk fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap industri acara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×