Elaun guru KAFA, pegawai masjid dan siak naik mulai Oktober

Elaun guru KAFA, pegawai masjid dan siak naik mulai Oktober

MOHAMAD Abdul Hamid (tengah) ketika menghadiri Majlis Perhimpunan Guru KAFA, Pegawai Masjid dan Siak Tahun 2026 di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Elaun bagi guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Pulau Pinang dinaikkan sebagai RM200 mulai Oktober ini sekali gus menjadikan elaun baharu bagi ketua guru KAFA dan guru KAFA biasa di negeri itu masing-masing sebanyak RM1,800 dan RM1,700 sebulan.

Timbalan Ketua Menteri I merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, kenaikan itu hasil kekukuhan kutipan zakat semasa ketika ini.

“Usaha meningkatkan kadar elaun setaraf dengan gaji minimum ini juga secara tidak langsung mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan guru KAFA di seluruh Pulau Pinang terjamin,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Guru KAFA, Pegawai Masjid dan Siak Tahun 2026 di Seberang Jaya di sini, hari ini.

Ini kali kedua kadar elaun tersebut dinaikkan sebanyak RM200 iaitu selepas 1 Julai 2025 membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM3.96 juta daripada sumber zakat sekali gus menjadikan keseluruhan komitmen tahunan adalah sebanyak RM11.19 juta.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, selain guru KAFA, elaun bagi pegawai masjid iaitu imam dan bilal serta siak lantikan kerajaan negeri juga akan dinaikkan bermula bulan depan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.76 juta sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan adalah sebanyak RM3.426 juta setahun.

Menurut beliau, dalam hal ini, elaun imam bagi masjid-masjid pengurusan akan dinaikkan sebanyak RM400 menjadi RM1,000 manakala elaun bagi bilal dan siak pula akan dinaikkan sebanyak RM300 menjadi RM800 sebulan.

“Pada masa yang sama, elaun imam bagi masjid kariah akan dinaikkan sebanyak RM100 menjadi RM950 sebulan manakala elaun bilal dan siak juga dinaikkan pada kadar yang sama menjadi RM600 sebulan dengan semakan terdahulu dilakukan pada 2023,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, Waktu Kehadiran Bertugas (WKB) bagi semua guru KAFA di Pulau Pinang juga akan diselaraskan kepada empat jam sehari untuk tempoh antara Oktober hingga Disember ini.

Katanya, penyelarasan itu bertujuan menjamin keselamatan lebih 60,000 murid KAFA ketika tiba dan ketika pulang dari kelas selain memastikan kelas berada dalam keadaan sedia untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×