NARATHIWAT (THAILAND): Dua anggota pemisah Selatan Thai yang mempunyai keseluruhan sembilan waran tangkap berkaitan kes keganasan bersenjata, ditembak mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di banjaran Gunung Tawe, di sini, Rabu lalu.
Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Useng Mama, 46, yang mempunyai enam waran tangkap dan Useng Cheming, 37, dengan tiga waran tangkap, bagi kes keganasan bersenjata antara 2016 hingga 2024.
Jurucakap Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, operasi yang bermula kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu dilancarkan selepas pihak berkuasa menerima maklumat mengenai kem berkenaan yang dikaitkan dengan kumpulan diketuai Abu Aznan Che Mae.
Katanya, pihak berkuasa kemudian meminta kumpulan terbabit menyerah diri, namun mereka sebaliknya melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan sebelum berlaku pertempuran.
“Selepas keadaan reda, pasukan keselamatan mengambil masa beberapa jam untuk membersihkan kawasan pertempuran kerana bimbang kemungkinan bahan letupan buatan sendiri (IED) ditanam sekitar kem berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jurucakap itu berkata, kumpulan terbabit dipercayai turut terlibat dalam serangan terhadap Pusat Pemeriksaan Bukit Sami di Daerah Rangae pada 22 Julai lalu yang mengorbankan lima anggota renjer serta mencederakan enam orang awam.
Katanya, mayat kedua-dua anggota pemisah berkenaan hanya ditemukan selepas pemeriksaan di sekitar kawasan kem pada petang semalam sebelum dibawa ke Hospital Daerah Cho Airong kira-kira pukul 1 pagi ini.
“Pemeriksaan menyeluruh menemukan dua raifal M16 dan AK47, bahan dan komponen pembuatan IED, beg galas, pakaian, bekalan survival di hutan, buaian serta beberapa barang lain.
“Useng Mama disyaki terbabit dalam beberapa insiden keganasan, termasuk menyerang Hospital Cho Airong pada 13 Mac 2016 dan pertempuran dengan pasukan keselamatan di Daerah Cho Airong,” ujarnya.
Jurucakap itu berkata, Useng Cheming pula yang mempunyai tiga waran tangkap disyaki terlibat dalam beberapa serangan dan pengeboman di Daerah Rangae.
“Dia juga bertindak sebagai penghantar IED kepada anggota kumpulan lain untuk digunakan,” katanya. – UTUSAN










