PUTRAJAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus memantau isu berkaitan penempatan pekerja asing di bilik utiliti di Residensi Max di ibu negara, selepas Pesuruhjaya Bangunan (COB) mengeluarkan surat amaran kepada pihak pemaju.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, surat amaran itu dikeluarkan oleh COB bagi memastikan pemaju tidak lagi menempatkan pekerja di ruang yang telah ditetapkan untuk kegunaan lain.
“COB mengeluarkan surat amaran kepada pihak pemaju supaya tidak lagi meletakkan pekerja-pekerja di dalam kawasan-kawasan dalam bilik-bilik yang telah ditetapkan untuk kegunaan lain.
“COB mengambil langkah tersebut, walau bagaimanapun ini di bawah pemaju dan kita akan terus memantau perkara tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas pengumuman Bazar Deepavali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, penduduk Residensi Max bimbang dengan kehadiran warga asing di kediaman berkenaan yang didakwa berlaku sejak hampir setahun lalu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi Max, Muhammed Assyafiq Ahmad Kamal, dilaporkan kecewa dengan pihak pengurusan yang didakwa enggan memberi kerjasama kepada penduduk bagi menyelesaikan isu berkenaan.
Selain menjadikan bilik utiliti sebagai tempat tinggal, penduduk turut mendakwa menemukan sebuah lagi bilik utiliti yang dipenuhi tayar motosikal dan dipercayai digunakan sebagai ‘bengkel haram’.
Mengulas lanjut, Fadlun berkata, Residensi Max masih di bawah pengawasan pemaju berikutan badan pengurusan bersama (MC) belum dibentuk.
“Buku titles telah dikeluarkan, walau bagaimanapun tidak mencukupi 25 peratus daripada jumlah penduduk yang membuat pertukaran hak milik, (jadi) MC belum dibentuk.
“Kita jangka bila pengurusan penyelenggaraan di bawah pemaju, semasa pekerja-pekerja yang mereja lantik menetap di kawasan itu,” katanya.











