Dasar awam perlu berlandas penyelidikan berkualiti, data sahih, analisis menyeluruh

Dasar awam perlu berlandas penyelidikan berkualiti, data sahih, analisis menyeluruh

ABD. Halim Aman berucap pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Setiap pembentukan dasar awam perlu diputuskan berdasarkan penyelidikan berkualiti, data sahih dan analisis menyeluruh bagi memastikan ia benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, pendekatan itu selari dengan amalan penggubalan dasar berdasarkan bukti yang semakin diterima pakai di peringkat antarabangsa.

“Penyelidikan juga penting bagi mengenal pasti kelemahan sistem, menilai risiko, mengukur keberkesanan dasar serta mencadangkan penambahbaikan yang lebih mampan,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abd Halim berkata, sebanyak 50 tajuk penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti dan antirasuah telah dipilih serta dilaksanakan oleh entiti penyelidikan tempatan melalui geran di bawah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) sepanjang 2020 hingga 2025.

Katanya, hasil penyelidikan berkenaan bukan sahaja menyumbang kepada perkembangan ilmu dan pengayaan wacana berkaitan tatakelola, malah membantu kerajaan serta pemegang taruh mengenal pasti risiko dan isu berkaitan rasuah.

“Saya berharap hasil Penyelidikan dan kompilasi ini akan terus dimanfaatkan sebagai sumber rujukan di dalam perumusan dasar, penambahbaikan sistem dan proses kerja,” jelas beliau.

Menurutnya, pendekatan berasaskan bukti juga boleh membantu memastikan usaha penyelidikan tidak terhenti pada penghasilan pengetahuan semata-mata.

“Usaha penyelidikan juga perlu diterjemahkan melalui tindakan dan penambahbaikan yang memberi impak kepada pengukuhan tatakelola, integriti dan pencegahan rasuah,” katanya.

Abd Halim turut berharap persidangan itu dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara penyelidik dan pembuat dasar, selain menjadikan setiap dapatan kajian yang dibentangkan sebagai asas kepada penambahbaikan dasar, sistem dan proses kerja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×