PETALING JAYA: Konflik di Selatan Thailand dijangka terus meruncing selagi wujud pihak tertentu dalam Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) yang mengambil kesempatan daripada kekacauan berterusan untuk meraih keuntungan melalui kegiatan jenayah rentas sempadan.
Pakar Keselamatan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamed Faisol Keling berkata, hasrat ‘kemerdekaan’ tiga wilayah iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala dilihat berpotensi menggugat ekonomi gelap dinikmati kumpulan tertentu, khususnya menerusi aktiviti penyeludupan.
Katanya, sekiranya keamanan dan kemakmuran dicapai antara Kerajaan Thailand dengan BRN, kumpulan penyeludup tidak lagi mempunyai ruang untuk menjalankan kegiatan mereka kerana operasi berkenaan bergantung kepada kekacauan yang berterusan.
Terdapat kumpulan tertentu dalam BRN mempunyai agenda tersendiri dengan berusaha menggagalkan rundingan damai dan mensabotaj usaha keamanan bagi memastikan keadaan terus kucar-kacir.
“Dalam BRN ada dua kumpulan, yang memang mahukan keamanan dan tidak. Kebanyakan mereka yang mengangkat senjata ini adalah kumpulan dengan agenda tersendiri iaitu menimbulkan kekacauan kerana mereka terlibat dengan jenayah.
“Bagi mewujudkan kekacauan, mereka akan gunakan pelbagai cara termasuklah menyamar menjadi tentera atau orang-orang BRN supaya konflik antara kedua-duanya berterusan.
“Ini antara punca menyebabkan keamanan sukar dicapai di Selatan Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohamed Faisol berkata, segelintir puak pemisah yang menggunakan ‘baju’ BRN sebenarnya terlibat dalam kegiatan jenayah, khususnya penyeludupan rentas sempadan.
“Visi mereka adalah untuk memastikan rakyat di Selatan Thailand tidak menyokong kerajaan dan kerajaan melihat rakyat di situ sebagai golongan puak pemisah. Jadi aktiviti jenayah mereka boleh diteruskan seperti biasa,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan BRN bersedia meneruskan ‘pembebasan’ Selatan Thailand melalui perjuangan bersenjata sekiranya Kerajaan Thailand menolak tuntutan kuasa autonomi penuh.
Bekas pemimpin tertinggi BRN berkata, tuntutan kemerdekaan akan kembali menjadi teras perjuangan kumpulan itu sekiranya hasrat autonomi penuh ditolak.
BRN dilaporkan berkata, kumpulan itu sebelum ini menggugurkan tuntutan kemerdekaan dan mempertimbangkan autonomi penuh. Bagaimanapun, sekiranya Kerajaan Thailand menolak tuntutan autonomi berkenaan, BRN akan kembali kepada perjuangan asal untuk mendapatkan kemerdekaan.
Mohamed Faisol berkata, Malaysia sebagai mediator dalam usaha damai antara Selatan Thailand dan Kerajaan Thailand perlu mengubah dimensi pemikiran, khususnya dengan mengambil kira bahawa BRN tidak mewakili keseluruhan rakyat di tiga wilayah berkenaan.
Katanya, berdasarkan kajian dilakukan, rakyat Thailand di tiga wilayah tersebut sebenarnya menerima sistem pilihan raya Thailand dan sistem beraja.
“Tetapi, ada satu kumpulan dalam masyarakat yang dikenal sebagai pemisah. Mereka tidak mewakili keseluruhan rakyat sebaliknya hanya mewakili sekumpulan kecil komuniti sahaja.
“Kerajaan juga perlu mengkaji siapa sebenarnya dalang utama dalam konflik di Selatan Thailand ini. Bagi menyelesaikan perkara ini, kita perlu mengenal pasti sasaran yang tepat sebelum sebarang usaha dilaksanakan,” katanya.
Mohamed Faisol mempersoalkan kesungguhan BRN dan Kerajaan Thailand, khususnya tentera, menyelesaikan konflik berkenaan kerana kedua-dua pihak didakwa memperoleh keuntungan daripada kemelut berlaku.
“Di pihak tertentu dalam BRN, mereka suka dengan konflik berterusan kerana mereka boleh terus cari makan hasil aktiviti jenayah, manakala di pihak kerajaan pula menganggap biarlah situasinya begini supaya Selatan Thailand tidak merdeka.
“Perlu diingat, undang-undang darurat di Selatan Thailand tidak pernah ditarik oleh kerajaan sejak 2004 sehinggalah hari ini,” katanya. – UTUSAN










