Contohi ketegasan Mara tangani buli

Contohi ketegasan Mara tangani buli

KEJADIAN salah laku jenayah seperti kes rogol, buli dan bunuh yang tular baru-baru ini menjadi pengajaran besar kepada semua pihak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prinsip ‘Anda sentuh, anda pergi’ sebagaimana diperkenalkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu dilaksana di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Za’idy Abdul Kadir berkata, pendirian tegas itu penting bagi memastikan isu buli tidak lagi dianggap sebagai kenakalan biasa, gurauan atau sebahagian daripada budaya senioriti dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, tragedi membabitkan Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Kuala Pilah, yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia, menuntut penjelasan serius berhubung aspek pencegahan dan keselamatan pelajar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Persoalannya bukan hanya apa yang berlaku selepas seorang pelajar kehilangan nyawa.

“Persoalan lebih besar ialah adakah sistem pencegahan buli, pemantauan asrama dan penguatkuasaan disiplin di sekolah kita benar-benar cukup tegas untuk mengesan dan menghentikan buli sebelum ia menjadi tragedi?” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek mengesahkan seorang pelajar ditahan bagi membantu siasatan, manakala KPM dan pihak sekolah akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.

Mohd Za’idy berkata, Kementerian Pendidikan perlu menjelaskan tahap pemantauan dan pengawasan di asrama SMK Za’ba sebelum kejadian, termasuk sama ada terdapat aduan atau tanda awal berkaitan buli yang pernah diterima pihak sekolah.

Katanya, kementerian juga perlu memastikan sebarang tindakan disiplin terhadap pelajar yang terbukti terlibat dilaksanakan selaras dengan peraturan dan garis panduan sedia ada.

“Dalam soal membanteras buli, saya berpandangan Kementerian Pendidikan boleh mencontohi ketegasan Mara dalam menangani kes buli di institusi pendidikan di bawah seliaan Mara.

“Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki secara terbuka menegaskan prinsip ‘You Touch, You Go’ sebagai mesej jelas bahawa tiada kompromi terhadap perbuatan buli di MRSM dan institusi pendidikan Mara,” katanya.

Mohd Za’idy berkata, pendekatan tersebut menunjukkan bahawa tindakan terhadap buli bukan semata-mata berkaitan hukuman selepas kejadian, sebaliknya turut melibatkan aspek pencegahan, pemantauan dan keupayaan institusi mengenal pasti tanda awal salah laku.

Dalam pada itu, beliau menggesa KPM memperkukuh pemantauan warden, sistem aduan pelajar, perlindungan kepada mangsa dan pemberi maklumat serta pengawasan di lokasi yang dikenal pasti berisiko berlaku buli di sekolah berasrama.

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya sesuatu perbuatan mempunyai unsur jenayah, proses undang-undang hendaklah berjalan sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang dengan mengambil kira umur suspek serta proses keadilan yang terpakai.

“Kita mahu satu mesej yang jelas kepada seluruh warga sekolah: buli bukan budaya, buli bukan gurauan dan pembuli tidak boleh diberi ruang,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×