SETIU : Aktiviti mencari kerang-kerangan seperti lokan dan kepah secara tradisional kini menjadi antara pengalaman unik yang menarik pelancong untuk mengenali kehidupan masyarakat pesisir tanah bencah di daerah ini.
Lebih menarik, aktiviti berkenaan memberi peluang kepada pelancong bukan sahaja menikmati tangkapan segar, malah merasai sendiri pengalaman mencari kerang-kerangan menggunakan kaedah tradisional yang diwarisi masyarakat setempat.
Zainatul Akmal Khalil, 67, dari Sungai Buloh, Selangor berkata, pengalaman pertama mencari lokan sangat menyeronokkan kerana sebelum ini dia hanya melihat hasilnya dijual di pasar.
“Selama ini saya hanya tengok lokan di pasar tetapi kali ini dapat mencari sendiri dan pengalaman itu memang sangat menarik. Saya datang bersama keluarga dan dapat menikmati keindahan alam semula jadi tanah bencah di Terengganu selain pantainya yang cantik,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Zainatul Akmal, aktiviti itu turut memberi peluang kepadanya mengenali cara hidup tradisional masyarakat tempatan yang jarang dapat dirasai dalam kehidupan seharian bagi mereka yang tinggal di kota.
Katanya, Terengganu terkenal dengan kepelbagaian hasil dan pengalaman mencari kerang-kerangan secara sendiri menjadikan kunjungannya lebih bermakna terutama bersama keluarga.
Sementara itu, Nor Hasni Ahmad, 47, dari Kota Bharu, Kelantan berkata, aktiviti itu adalah pengalaman baharu yang dapat diberikan kepada anak-anaknya.
“Paling penting, aktiviti ini membolehkan saya meluangkan masa bersama keluarga sambil memperkenal anak-anak kepada budaya dan cara hidup masyarakat setempat. Sebelum ini kita hanya melihat di kaca televisyen atau media sosial tetapi kini dapat rasai sendiri.
“Biasanya saya membeli lokan di Tok Bali, Kelantan yang telah dibersihkan tetapi kali ini dapat mencari sendiri dan rasanya lebih puas apabila dapat makan hasil yang kita cari, “ katanya.
Seorang pemandu pelancong, Suhaimi Taha, 53, pula berkata, aktiviti mencari kerang-kerangan mendapat sambutan menggalakkan terutama ketika musim cuti sekolah.
Katanya, jumlah perjalanan boleh mencecah sehingga sembilan trip seminggu ketika musim cuti, berbanding dua trip seminggu pada hari biasa.
“Pelancong dibawa ke kawasan benting di sekitar Kampung Fikri dan Kampung Pengkalan Gelap ketika air surut sesuai untuk aktiviti mencari lokan dan kepah.
“Kami turut mengajar mereka cara mencari kerang-kerangan secara tradisional menggunakan peralatan khas seperti pencakar besi mahupun pisau kecil supaya mereka bukan sahaja mendapatkan hasil tetapi memahami kaedah yang diamalkan masyarakat dahulu,” katanya.
Menurutnya, aktiviti berkenaan berpotensi terus dikembangkan sebagai produk pelancongan berasaskan pengalaman kerana menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pengunjung. – UTUSAN











