KUALA LUMPUR: Seorang buruh warga Myanmar dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan menikam seorang penjual buah warga emas sehingga mati, tiga tahun lepas.
Hukuman itu dijatuhi Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas tertuduh, Shofi Husson Fozo Rahman, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan 28 September 2023.
Mengikut pertuduhan, Shofi Husson didakwa telah menyebabkan kematian warga tempatan, Ah Kau @ Yow Chow Chong, 84, di sebuah rumah di Taman OUG, Brickfields, di sini, pada pukul 6.30 petang, 26 September 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.
Berdasarkan fakta kes, mangsa datang ke rumah tersebut untuk mengambil buah yang ingin dijual sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.
Perkara itu menyebabkan tertuduh bertindak mengambil pisau lalu menikam leher dan badan warga emas itu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Shofi Husson menghampiri mangsa di lokasi kejadian selain mencampakkan satu objek dipercayai pisau sebelum melarikan diri.
Laporan bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat luka tikaman di leher dan mendapati terdapat enam kesan tikaman pada badan mangsa, termasuk dua di leher yang menembusi saluran darah utama dan menyebabkan pendarahan serius.
Timbalan Pendakwa Raya, Faridah Nurdinie Bahrum mencadangkan hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat awam supaya kesalahan serupa tidak berulang.
“Walaupun berusia 80 tahun, mangsa masih lagi bekerja dan lokasi kejadian adalah tempat beliau meletakkan buah-buahan.
“Mangsa merupakan seorang ayah dan kematiannya memberi impak mendalam kepada keluarganya. Sebagai warga asing tertuduh sepatutnya mematuhi undang-undang negara ini,” katanya.
Peguam, Datuk C. Vignesh Kumar mewakili tertuduh memohon hukuman penjara antara 12 hingga 15 tahun mengambil kira pengakuan salah itu telah menjimatkan masa mahkamah selain anak guamnya menanggung isteri dan seorang anak.
“Tertuduh berkelakuan baik serta tidak menimbulkan sebarang masalah sepanjang berada di dalam penjara dan pengalamannya di dalam penjara memberi kesan mendalam kepadanya. Beliau juga memohon maaf dan menyesal dengan perbuatannya,” katanya. – UTUSAN











