IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) berharap mesyuarat khas kerajaan bagi menangani isu kenaikan bil elektrik dapat menghasilkan langkah segera yang mampu meringankan beban rakyat yang terkesan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, perbincangan khusus antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu bagi meneliti semula mekanisme dan kaedah semasa pengiraan bil elektrik.
Katanya, langkah itu penting susulan keluhan dan keresahan masyarakat berhubung peningkatan bayaran bil elektrik sejak kebelakangan ini.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat meneliti isu berkaitan peningkatan kadar bayaran elektrik yang dibangkitkan rakyat dan sejurus pulang dari lawatan rasminya ke Maldives dan India, beliau telah mengeluarkan kenyataan untuk Petra dan TNB mengadakan perbincangan khusus hari ini.
“Insya-Allah, kita nantikan sekiranya ada pengumuman atau langkah yang akan diambil kerajaan untuk meringankan beban yang dihadapi pengguna.
“Saya boleh memberi jaminan bahawa kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar keluhan dan permasalahan yang dibangkitkan rakyat,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Peruntukan Perdana Menteri Kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak di Pejabat Penghulu Mukim Hulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini hari ini.
Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, AMK sebelum ini telah menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan dan berharap kerajaan mengambil tindakan susulan berdasarkan keluhan yang disuarakan rakyat.
Katanya, kerajaan perlu terus mendengar permasalahan pengguna dan memastikan sebarang langkah yang diperkenalkan dapat membantu mengurangkan beban mereka.
“Jika dilihat, sistem atau mekanisme yang digunakan ketika ini sebenarnya boleh membantu mengurangkan kadar bil elektrik.
“Bagaimanapun, mungkin keadaan cuaca dan jerebu yang sedang melanda ketika ini sedikit sebanyak menyebabkan mekanisme berkenaan terganggu,” katanya.
Semalam Anwar memaklumkan satu mesyuarat khas akan diadakan hari ini bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.-UTUSAN










