Beri ruang pihak berkuasa siasat kes kematian pelajar SMK Za'ba

Beri ruang pihak berkuasa siasat kes kematian pelajar SMK Za’ba

MUHAMMAD Idlan Fareeq Shahril merupakan pelajar tingkatan dua di sekolah sukan tersebut dan terlibat dalam sukan memanah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa mennjalankan siasatan kes kematian seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Za’aba (SMK Za’ba) di Kuala Pilah dipercayai akibat buli.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Za’ba, Abd. Malek Abd. Ghani berkata, pihak berkuasa akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kes itu dan ia mungkin mengambil sedikit masa bagi memastikan ia dilakukan dengan lengkap.

Katanya, terdapat beberapa hantaran di media sosial mengenai kes itu dan ketepatan maklumat yang diperkatakan tidak dapat dipastikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya minta orang ramai bersabar kerana siasatan sudah bermula dan kita semua perlu berhati-hati dengan hantaran di media sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi pagi ini.

Malam tadi, pelajar tingkatan dua SMK Za’ba, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.

Allahyarham dipercayai menjadi mangsa buli.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin telah mengesahkan kejadian itu dan memberitahu pihaknya akan memaklumkan butiran lanjut berhubung kes berkenaan dalam masa terdekat.

Mengulas lanjut, Abd. Malek berkata, SMK Za’ba ialah Sekolah Sukan Negeri (SSN) dengan jumlah pelajar seramai 315 orang.

Katanya, sekolah tersebut terbabit dalam sukan bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, bola jaring dan memanah.

“Arwah adalah pelajar tingkatan dua yang terlibat dalam sukan memanah,” katanya.

Beliau menegaskan, sepanjang tahun ini, belum ada kes buli dilaporkan berlaku di asrama sekolah tersebut.

Jelasnya, satu kes buli yang serius dilaporkan berlaku kira-kira empat tahun lalu dan pelajar berkenaan telah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×