Bengkel Celik Jawi IPG Kampus Tawau angkat martabat Jawi

Bengkel Celik Jawi IPG Kampus Tawau angkat martabat Jawi

LORENICA Frenila Masundim (tengah) bersama pegawai dan kakitangan IPG Kampus Tawau pada Bengkel Celik Jawi di Tawau baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Seramai 130 orang siswa guru dan pensyarah baru-baru ini menjayakan Bengkel Celik Jawi di Dewan Al-Khawarizmi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, baru-baru ini.

Program Celik Jawi Dalam Bahasa Melayu merupakan usaha sama Jabatan Pengajian Bahasa dan Jabatan Sains Sosial IPG Kampus Tawau di bawah program Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Penceramah jemputan dalam bengkel tersebut ialah Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum SK.Bawang K9, Beluran Lorenica Frenila Masundim yang menyampaikan perkongsian bertajuk “Pengenalan Pengajaran Tulisan Jawi dalam Pendidikan Bahasa Melayu”

Lorenica Frenila Masundim (kiri ) menerima penghargaan daripada pensyarah Jabatan Sains Sosial IPG Kampus Tawau Mhd. Yusof Zakaria (baju putih) dan sambil disaksikan Dr Jusman Aman Setia di IPG Kampus Tawau baru-baru ini.

Kandungan ceramah tersebut merangkumi penjelasan tentang tulisan Jawi secara umum dan secara khusus dalam kurikulum Bahasa Melayu serta bengkel penghasilan aplikasi, cara menggunakan tulisan Jawi dengan mudah seterusnya bagaimana memohon hak cipta untuk karya yang dihasilkan.

Program tersebut memberi gambaran jelas kepada para siswa guru tentang tulisan Jawi sebagai warisan budaya negara Malaysia dan bukan semata-mata digunakan untuk tujuan keagamaan sahaja.

Siswa guru yang terdiri daripada pelajar Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) Semester 1 akan mempelajari tulisan Jawi secara formal pada Semester 2 melalui Kursus Pengenalan Sistem Ejaan Jawi dan Rumi.

Lorenica yang turut mendapat pendidikan formal berkaitan tulisan Jawi semasa menjadi guru pelatih PPISMP Semester 2 di IPG Kampus Gaya pada t 2009 berharap siswa guru yang mendengar perkongsian beliau akan menjadi pelapis dan peneraju usaha melestarikan tulisan Jawi di negara ini melalui pelbagai usaha termasuklah penghasilan produk inovasi.

Kehadiran Lorenica ke IPG Kampus Tawau turut disantuni oleh Pengarah IPG, Tawau Dr. Najamuddin Bachora dan Timbalan Pengarahnya Naima Kadir sebelum ceramah bermula.

Program seumpama itu penting bagi melahirkan pendidik yang mempunyai jiwa kenegaraan yang tinggi dan dapat memastikan warisan budaya yang tidak ternilai harganya seperti tulisan Jawi tidak pupus ditelan zaman.

Sesungguhnya siswa guru merupakan masa hadapan yang sangat berharga kepada negara.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×